Menghasut: Raja Petra mengaku tidak bersalah, enggan dijamin


PETALING JAYA: Penulis blog dan pengendali laman web MalaysiaToday, Raja Petra Raja Kamarudin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menerbitkan satu artikel bersifat menghasut di laman web itu pada 25 April lepas.

Raja Petra, 58, dituduh menerbitkan artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" yang mengandungi ayatayat yang menghasut dalam laman web itu yang beralamat di http://www.malaysia.today.net.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Raja Petra yang memakai kemeja berlengan pendek berwarna kuning kelihatan tenang semasa jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Raja Petra, K. Balaguru, mengemukakan bantahan awal terhadap kertas pertuduhan itu dengan alasan pihak pendakwaan telah gagal menyatakan masa kesalahan kes itu dilakukan.

Bagaimanapun Balaguru menarik balik bantahan itu setelah peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo masuk ke mahkamah untuk menyertai lima peguam lain yang mewakili Raja Petra.

Balaguru juga tidak membantah jumlah jaminan yang dicadangkan oleh Nordin.
Nordin kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan tempoh seminggu untuk mengemukakan kes pendakwaan.

Hakim Nurmala Salim menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan perbicaraan kes berkenaan selama lima hari bermula 6 Okt ini.

Nordin kemudian memberitahu pemberita beliau akan memanggil 15 saksi untuk membantu dalam kes pendakwaan.

Sehingga 2 petang, Raja Petra dikatakan enggan membayar wang jaminan itu dan berhadapan tindakan dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Sebelum itu, tertuduh diiringi oleh peguam dan ramai penulis laman web hadir di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di Kuala Lumpur, setelah diminta oleh pihak polis semalam untuk hadir di mahkamah hari ini untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun mereka bergegas ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya setelah dimaklumkan bahawa kes itu didengar di mahkamah itu.

Di luar perkarangan mahkamah, Karpal memberitahu pemberita beliau menawarkan perkhidmatannya untuk mewakili Raja Petra dan meminta Majlis Peguam turut membantu tertuduh dalam menghadapi perbicaraannya kerana ia merupakan kes seumpamanya melibatkan penulis blog di negara ini. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.