Apa sebab Tajol hendak letak jawatan sebagai ADUN?


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sanggup meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Hulu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut.

Tajol Rosli yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau tidak takut meletak jawatan kerana yakin boleh memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut sekali gus membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) masih berkuasa di Perak.

''Saya sanggup letak jawatan sebagai ADUN Pengkalan Hulu dan bertanding semula.

''BN tidak pernah hilang kuasa dan yakin mampu memperoleh kemenangan besar sekiranya pilihan raya kecil diadakan di situ, malah, berupaya mendapat undi majoriti lebih banyak," katanya berucap pada majlis Kesyukuran BN Parlimen Kuala Kangsar di Arena Square di sini semalam.

Menurut Tajol Rosli, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, BN hilang sokongan pengundi di beberapa tempat kerana rakyat berasa keliru setelah termakan helah pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, senario itu mungkin berbeza jika pilihan raya diadakan semula kerana yakin pengundi sudah sedar kesilapan mereka.

''Saya tahu dulu banyak pengundi keliru oleh janji manis pembangkang tetapi sampai bila? Sekali dua boleh tapi bukan boleh buat helah selama-lamanya.

''Saya yakin BN boleh ambil balik pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan pembangkang yang memerintah sekarang pada masa akan datang kerana pakatan yang ditubuhkan oleh pembangkang ini cukup rapuh dan boleh jatuh pada bila-bila masa," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli BN terutama MIC dan MCA supaya terus berusaha memperkukuhkan parti agar terus mendapat sokongan rakyat.

No comments

Powered by Blogger.