dok manaduit??

KUALA TERENGGANU, 16 Mei: Apa sudah jadi? Siapa betul? Ke mana wang itu? Begitulah pertanyaan yang berlegar di kalangan rakyat negeri ini berhubung peruntukan daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang diterima kerajaan negeri sejak 2004.

Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz semasa menjawab soalan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat, 13 Mei lalu.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun bermula 2004, Petronas telah membayar sejumlah RM26.8391 bilion sebagai royalti kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM13.419 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.364 bilion), Sabah (1.234 bilion) dan Sarawak (4.821 bilion).

Walaupun begitu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, sebagaimana laporan sebuah akhbar harian Khamis lalu, berkata kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion peruntukan daripada DKPP yang dimasukkan ke dalam bajet negeri selama empat tahun sejak 2004.

Ini kerana baki RM3 bilion daripada RM7.3 bilion yang dilaporkan dibayar Petronas, tidak diterima dan tidak pernah dimasukkan dalam bajet negeri yang dibentangkan selepas Barisan Nasional (BN) memerintah semula negeri ini.

Ahmad yang juga Adun Kijal bertanya perkara itu kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah yang memberitahu kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak tahu ke mana perbelanjaan RM3 bilion lagi dan ada kemungkinan ia digunakan untuk membiayai kos pembinaan projek Persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung baki duit royalti petroleum atau dana khas itu yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan rakyat negeri ini.

No comments

Powered by Blogger.