Video Lingam: Pendedahan berani oleh the STAR

Pihak akhbar the Star dan beberapa akhbar lain dengan beraninya telah mendedahkan laporan Klip Video.Syabas dan Tahniah kepada keberanian mereka! Inilah yang kita mahukan dari akbar perdana menyiarkan berita benar tanpa takut-takut -without fear and favour! Sekali lagi tahniah kepada the Star!

Enam individu disyor disiasat lanjut oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (ikut jam) adalah Tan Sri Vincent Tan, Datuk V.K.Lingam, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.


Video Lingam: Dr. M antara 6 individu disyor disiasat lanjut
16-05-2008 10:01:29 PM Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan antara enam individu dikenal pasti oleh Suruhanjaya Diraja Mengenai Rakaman Klip Video sebagai mereka yang dikaitkan secara langsung terlibat dalam isu aturan pelantikan hakim-hakim dan perlu disiasat lanjut.

Suruhanjaya yang menyiasat klip video Datuk V.K. Lingam itu mengesyorkan supaya keenam-enam mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan kerana menghalang proses keadilan.

Selain Dr. Mahathir, lima yang lain ialah peguam Datuk V.K. Lingam sendiri, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan; bekas anggota Kabinet, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohamed Eusoff Chin.

Pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pukul 3 petang tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju agar Jabatan Peguam Negara memulakan siasatan lanjut serta-merta atas segala tuduhan terhadap mereka.

Kata beliau, kerajaan mengambil kira penemuan surujanjaya itu yang mengenal pasti dan membuat keputusan bahawa rakaman klip video tersebut adalah sahih dan mengesyorkan tindakan sesuai diambil terhadap individu-individu yang dikatakan melakukan kesalahan tertentu.

Zaid berkata, orang ramai boleh membeli laporan itu pada harga RM541 mulai Selasa depan.

Ketika ditanya sama ada individu tertentu yang dinamakan dalam laporan itu terlibat dengan kesalahan, Zaid berkata: "Tidak, saya tidak mahu kata mereka terlibat. Saya kata itu adalah penemuan."

Mengenai dakwaan utama dalam laporan itu, beliau berkata, terdapat pelbagai kesalahan seperti yang melanggar Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang perlu disiasat oleh Peguam Negara.

"Kita harus ingat bahawa laporan atau syor ini bersifat makluman. Oleh itu, satu lagi siasatan perlu dijalankan," katanya.

Zaid berkata, Jemaaah Menteri meminta masyarakat termasuk media supaya membiarkan proses siasatan berjalan seperti biasa tanpa tekanan ataupun sebarang prejudis terhadap manamana individu yang disebutkan dalam laporan itu.

"Perlu diingatkan bahawa dalam sistem perundangan kita, seseorang yang dituduh atau dikaitkan atas sesuatu kesalahan itu adalah tidak bersalah sehingga mahkamah memutuskan perkara tersebut," katanya.

Laporan berjumlah 186 muka surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu.

Suruhanjaya Diraja itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan Lingam, sedang bercakap menerusi telefon dengan seorang yang dikatakan seorang hakim kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.

Seramai 21 saksi termasuk Dr. Mahathir dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam inkuiri yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.

http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Artic

No comments

Powered by Blogger.