Pembaca mahu Harakah diterbitkan setiap hari!


KUALA LUMPUR, 1 Mei (Hrkh) - Pembaca dan peminat Harakahdaily dalam undian terbaru mereka mencadangkan agar kekerapan penerbitan Harakah hendaklah mengikut kehendak pembaca masa kini dan bersetuju bahawa ia diterbitkan setiap hari.

Dalam undian yang disediakan oleh Harakahdaily mendapati seramai 5,380 atau 53.6 peratus pembaca telah mengundi bahawa akhbar Harakah hendaklah diterbitkan setiap hari berbanding dua kali sebulan seperti yang disyaratkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini. Sementara itu, sebanyak 2,405 pembaca pula mensyorkan agar ia diterbitkan sebanyak dua kali seminggu, manakala 1810 atau 18 peratus memilih sebanyak sekali seminggu, sebanyak 313 pengundi atau 3.1 peratus memilih ia dicetak dua kali sebulan dan seramai 128 orang pula berasakan Harakah hanya perlu diterbitkan sekali sebulan.

Undian tersebut dikelolakan oleh Harakahdaily apabila Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman sebelum ini mengulas mengenai isu siapa yang harus menentukan kadar kekerapan penerbitan sesebuah akhbar.

Menurutnya, pihak yang akan menentukan kadar kekerapan penerbitannya adalah pembaca, bukannya pemerintah.

"Biarkan pembaca yang menjadi penentu kekerapan pengeluaran sesebuah akhbar kerana sebagai pengusaha akhbar, kita hidup dengan hasil jualan dan tidak sepatutnya ia diletakkan kepada kuasa pemerintah," ujarnya baru-baru ini.

Tegasnya, jika kredibiliti dan kewibawaan akhbar tersebut hilang, maka dengan sendiri akan tersekat penerbitannya kerana sudah tidak mendapat kepercayaan pembaca masa kini yang semakin kritis dan bijak memilih.

Akhbar Harakah kini diterbitkan dua kali sebulan sejak 2000 selepas permit asalnya 'dipancung' KDN, beberapa bulan selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan sokongan majoriti pengundi Melayu kepada Barisan Alternatif ekoran peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Jualannya ketika itu melonjak melebihi 300,000 naskah, yang diterbitkan dua kali seminggu. - mks.

No comments

Powered by Blogger.