Teori konspirasi jatuhkan Najib di sebalik kes raba bekas menteri?

Mohd Rashidi Hassan
Fri | May 02, 08 | 9:46:35 am MYT
Kes membabitkan seorang bekas menteri yang didakwa meraba seorang pelayan di kedai menjual cigar (cerut), yang dikatakan berlaku di Kelab Havana 14 April lepas, mungkin tidak harus dilihat dari aspek moral dan jenayah semata-mata.

Ia harus dilihat daripada perspektif yang lebih besar daripada itu. Barangkali ianya ada unsur sabotaj atau ada teori konspirasi terbabit dan mungkin ada character assasination berlaku.

Jika ia unsur sabotaj atau teori konspirasi, ia membabitkan siapa dan untuk apa ia dilakukan?

Akhbar, The New Straits Times, 1 Mei (semalam) dipetik melaporkan 'Police want ex-minister to be charged' jelas menyatakan pihak polis telah memberikan rekomen untuk mendakwa bekas menteri terbabit.

Laporan yang sama dinyatakan oleh media rasmi kerajaan, Bernama.

Laporan itu menyebut bahawa menteri terbabit akan didakwa di bawah Sekyen 354 Penal Code, yang boleh disabitkan dengan hukuman sehingga 10 tahun penjara, denda serta sebatan.

Kes terbabit timbul pada 18 April lepas, apabila wanita berusia 30-an membuat laporan polis bahawa bekas menteri itu merabanya di sebuah kedai menjual cerut di sebuah hotel terkemuka di KL Sentral.

Bagaimanapun lima hari selepas itu, wanita yang berbangsa Melayu itu, menarik balik laporan polis dan mendakwa laporan itu dibuat kerana salah faham.

Wanita itu juga mengakui bahawa beliau dan ahli politik berkenaan adalah kawan yang sudah lama dikenali.

Persoalannya yang timbul sekarang, jika ahli politik berkenaan sudah lama dikenali sebagai kawan, mengapa kejadian seumpama itu boleh berlaku sekarang (didakwa berlaku pada 14 April)?

Atau kemungkinan kemesraan sebagai kawan disalah ertikan sebagai 'mengambil kesempatan' atau mungkin wujud desakan pihak tertentu yang mengatur plot rancangan bagi 'mengenakan' ahli politik terbabit?

Kelab Havana, merupakan 'pot' atau tempat berhimpun elit yang terkenal bagi puak-puak VIP sama ada terdiri daripada orang politik atau orang berniaga (politician and businessman).

Hotel tempat kejadian berkenaan dikatakan, bukan sahaja menjadi tumpuan bekas menteri berkenaan, malah menteri-menteri kabinet, malah ada sumber mendakwa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga sering berada di situ.

Sewaktu kejadian, difahamkan bekas menteri berkenaan bukan keseorangan, terdapat ramai rakan-rakannya ada bersama, berada di tempat terbuka dan turut sama di situ ada anggota keluarga Perdana Menteri.

Ada sumber mengatakan pada mulanya wanita Melayu berkenaan enggan membuat laporan polis kerana menganggap tindakan ahli politik yang sudah lama dikenali itu sebagai gurau biasa seorang kawan.

Bagaimanapun, laporan dibuat selepas empat hari kejadian berlaku, akibat desakan teman lelakinya yang berbangsa Cina yang dipercayai bertindak di atas sokongan pihak tertentu.

Sumber mendakwa, wanita berkenaan 'digunakan' oleh teman lelakinya yang rapat dengan seorang ahli perniagaan, yang ada hubungan erat dengan ahli politik dari keluarga PM.

Persoalan yang ditimbul disebalik kes

Pelbagai andaian boleh wujud rentetan daripada insiden ini.

Pertamanya, mengapa selepas wanita berkenaan menarik balik laporan polisnya, pihak polis tetap bertegas meneruskan siasatan dengan memanggil bekas menteri itu ke balai.

Kedua, bagaimana laporan hasil siasatan polis yang seharusnya dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara (AG) seharusnya confidential boleh diketahui pihak media, khususnya Bernama dan NST?

Ada sumber memberitahu, sebaik laporan disiarkan, pihak polis memanggil wartawan berkenaan ke balai untuk mengetahui bagaimana dokumen sulit yang boleh dikategorikan sebagai di bawah Akta Rahsia Rasmi, OSA, boleh terlepas ke tangan media.

Sebaliknya, jika laporan itu tidak betul, atau tidak berlaku permintaan polis kepada AG untuk bekas menteri itu didakwa, apakah tujuan laporan berkenaan dibuat?

Siapakah yang berada di belakang Bernama dan NST atau media lain, yang mahu memastikan berita tersebut disiarkan?

Mengapakah Bernama sebagai media rasmi kerajaan, seolah-olahnya 'berusaha' memalukan bekas menteri berkenaan dan bagaimana wartawan terbabit boleh memastikan arahan pendakwaan sudah dibuat?

Juga bagaimana NST selaku media milik Umno, boleh menghentam dan memalukan Ahli Parlimennya sendiri, yang turut merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno?

Dan apakah tujuannya bekas menteri berkenaan dijatuhkan hukuman di atas sesuatu perkara yang belum dipastikan pengesahannya?

Tidakkah pihak berkenaan memikirkan, jika pendakwaan tidak wujud, anggota keluarga, isteri dan anak-anak ahli politik berkenaan sudah pun menanggung malu?

Kes jenayah yang dipolitikkan wujud dalam kerajaan dan Umno

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah mengalami peristiwa yang amat pahit dalam hidupnya sepuluh tahun yang lalu.

Kes membabitkan bekas menteri ini, jika dibandingkan tidak sampai pun 10 peratus daripada bebanan kes yang ditimpakan terhadap Anwar.

Persoalannya bukan soal perbandingan kecil atau besarnya sesuatu kes. Sebaliknya ia menunjukkan, kes-kes jenayah yang didakwa ke atas ahli-ahli politik, kemungkinan besar, wujud teori konspirasi.

Kes ini menimbulkan keraguan kemungkinan wujudnya agenda politik dan politiking dalaman Umno yang semakin runcing selepas penolakan besar rakyat terhadap Umno/Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.

Sehingga kini, pemimpin serta parti komponen BN sering bercakaran dan tuduh menuduh sesama sendiri.

Dalam Umno pula, kecaman, desakan dan pelbagai tekanan dikenakan terhadap Presiden mereka, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa punca utama penolakan rakyat.

Di sebalik tekanan yang hebat terhadap Abdullah, beliau tetap kelihatan bersahaja, dan menegaskan pendirian untuk terus mengekalkan jawatan sebagai Presiden dalam pemilihan parti itu Disember depan.

Secara khususnya gelombang besar yang wujud dalam Umno untuk menolak Abdullah, jelas menunjukkan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai pengganti Abdullah.

Abdullah tidak ada pilihan. Dalam suatu pertemuan dengan wakil-wakil rakyat BN, Abdullah mengumumkan Najib adalah penggantinya dan peralihan kuasa akan dibuat. Bila dan bagaimana, tidak Abdullah nyatakan.

Walaupun Abdullah sudah membuat perakuan bahawa Najib adalah penggantinya, apakah ianya boleh dipercayai oleh ahli-ahli Umno?

Apabila tekanan terhadap Abdullah memberikan favour kepada Najib, apakah mungkin orang-orang Abdullah yang diketuai menantunya, Khairy akan berdiam diri dan membiarkan Abdullah terus dibelasah orang-orang Umno.

Secara lojiknya sudah tentu juak-juak Abdullah akan turut merancang.

Apabila kedudukan ahli politik sudah berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan', revenge politik akan berlaku.

Janji Presiden Umno, bolehkah dipercayai?

Lebih sepuluh tahun dulu, PM ketika itu, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun), turut bercakap berulang kali kepada media bahawa Anwar adalah penggantinya.

Namun, sejarah membuktikan bahawa janji-janji PM dan Presiden Umno itu tidak boleh dipakai.

Anwar yang diwar-warkan sebagai pengganti PM, dipecat, didakwa, dipukul, dipenjara dan dijatuhkan hukuman dengan cara yang amat mengaibkan.

Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan November 2004 mendapati beliau tidak bersalah, namun kata nista dan pertuduhan yang amat dahsyat ditanggung beliau serta keluarga sejak tahun 1998, tiada siapa yang dapat membayar betapa mahal harganya sebuah maruah diri.

Hakikat daripada kes-kes yang berlaku, menunjukkan demi mempertahankan jawatan dalam Umno, semua kemungkinan akan berlaku.

Hubungan Anwar-Mahathir yang dikatakan seperti anak-bapa pun boleh terputus akibat politik. Inikan pula hubungan Najib-Abdullah.

Dalam kes membabitkan bekas menteri tersebut secara spesifik, beliau dikatakan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Najib.

Kedudukannya bukan sekadar sahabat, tetapi dikatakan salah seorang think-tank Najib, sama seperti Abdul Razak Baginda yang didakwa atas kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Sekarang ini media milik kerajaan dan Umno sudah melayan wakil rakyatnya sendiri seperti anggota pembangkang, tekanan demi tekanan dibuat menjadikan beliau seolah-olahnya 'pelarian politik'.

Apakah mungkin nasib yang bakal menimpa orang kanan TPM ini, tidak terkena tempiasnya kepada Najib sendiri?

Atau apakah mungkin, tindakan ini merupakan suatu benchmark baru politik kumpulan Abdullah Badawi untuk pertahan diri?

Menjelang pemilihan Umno nanti, mungkin lebih banyak kes-kes seumpama ini akan berlaku, jatuh menjatuhkan, cemar mencemar akan terus berlaku dalam Umno.

Pergaduhan dan perebutan jawatan dalam Umno nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Umno dan BN adalah seumpama sinking boat yang hampir karam.

Rakyat tidak perlu bimbang, kerana Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim sudah bersedia menggantikan mereka, bila-bila masa.

No comments

Powered by Blogger.