Panduan Dr Asri langkah berani
SETELAH dikecohkan dengan isu kontroversi pelantikan Menteri Besar sebaik sahaja berakhir pilihanraya umum lalu, Perlis kali terus menggamatkan suasana tanahair apabila Jabatan Mufti Negeri Perlis melahirkan rasa dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit dalam program Jom Heboh anjuran stesen televisyen TV3.
Dalam kenyataan media, Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebarang aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak dibenar sama sekali.
"Pada dasarnya Jabatan Mufti negeri ini tidak mengharamkan Program Jom Heboh itu, program tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya ingin dilaksanakan di Perlis"
"Jika disertai program konsert sekalipun ia hendaklah terkawal dan berdisiplin. Malah setiap artis yang mahu dibawa masuk perlu dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti terlebih dahulu. Secara umumnya, jabatan ini mencadangkan supaya artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Sohaimi Mior Hassan atau kumpulan-kumpulan nasyid tanahair ke negeri ini, ujarnya.
Artis-artis seperti Faizal Tahir atau artis aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan.
Sehubungan itu, Dr Asri mahu penganjur Jom Heboh menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyi-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan tidak menghormati agama.
Jika gesaan ini datangnya dari tokoh paling arif mengenai agama, nampaknya Menteri Besar baru, Datuk Dr Isa Sabu terpaksa akur dengan memberi reaksi positif walaupun hakikatnya negeri itu tidak pernah menghalang apa jua genre konsert di negeri bersempadanan negara jiran, Thailand itu.
Keberanian Dr Asri melontarkan garis panduan sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh adalah satu lambang ketegasan supaya generasi hari ini dan akan datang tidak terus dimomok dengan unsur-unsur yang boleh melalaikan sehingga terjerumus dengan gejala-gejala tidak diingini.
Tidak lama dulu pun, kita lihat bagaimana Kelantan yang diterajui seorang ulama awal-awal lagi telah menyekat kemasukan artis-artis yang membawa contoh buruk ke negeri Cik Siti Wan Kembang semata-mata untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam pelaksanaan undang-undang Islam.
Jika program di Kelantan dan kini di Perlis berjaya dilaksanakan mengikut garis panduan yang disyorkan, negeri-negeri lain terutama Kedah dan Terengganu juga boleh mengambil pendekatan yang sama. Benda yang baik, kita perlu akui baik.
Rasanya dalam hal ini Media Prima yang menaungi stesen TV3 boleh menyerahkan kepada TV9 untuk melaksanakan program Perkampungan Hadhari di negeri-negeri berkenaan kerana konsep program mereka lebih bersesuaian dengan aktiviti-aktivit utama seperti pameran artifak sejarah Islam, forum Halaqah, Malam Penghayatan Islam, Klinik Al-Quran dan konsert nasyid. -
http://nakmarahmarahlah.blogspot.com/
No comments
Post a Comment