apabila dolah berkata-kata....
Pengamal media, termasuk penulis blog perlu bersikap bertanggungjawab dan beretika dalam melaporkan isu-isu penting, termasuk isu harga minyak dan krisis makanan yang sedang berlaku dalam negara pada masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, ini kerana apa yang diberitakan akan menarik perhatian dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi fikiran rakyat.
"Saya percaya kita semua boleh bekerjasama membantu menangani masalah ini kerana ia bukan masalah kerajaan sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab bersama, bukan masalah saya, bukan sahaja masalah kerajaan tetapi masalah kita," katanya ketika berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2008 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2007, di sini, semalam.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin, Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Pengurus Besar Bernama yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Azman Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya.
Menyentuh mengenai etika kewartawanan, Perdana Menteri berkata sebagai wartawan, adalah penting bagi mereka untuk tidak hanya tahu membuat laporan, tanpa mengambil kira etika kewartawan yang seharusnya menjadi panduan dalam penulisan.
"Dalam fikiran saya, media dalam membuat andaian, biarlah pandangan yang diberikan itu konstruktif dan bertanggungjawab.
"Pandangan dan peranan media biarlah dihormati...jika tidak, main hentam sahaja, buat cerita tidak betul, ini bukan caranya untuk menjadi wartawan yang dihormati," katanya.
Beliau berkata wartawan dalam membuat laporan, juga penting untuk mereka memahami subjek yang diperkatakan bagi mengelakkan laporan yang dibuat tidak difahami oleh pembaca.
"Jika berlaku salah faham dalam laporan yang dibuat, boleh menimbulkan salah faham di kalangan rakyat yang mungkin akan membawa kepada reaksi yang tidak tepat dan mencetuskan masalah yang lebih besar," katanya.
Tahniah: Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah bersama
pemenang The Star (dari kanan) Lohan, Chin dan Azhar semalam
Justeru Abdullah mencadangkan diwujudkan kumpulan wartawan yang mempunyai pengkhususan, terutamanya dalam isu kenaikan harga minyak dan krisis makanan bagi mengelak timbulnya laporan, spekulasi, andaian dan persepsi yang tidak tepat berhubung isu terbabit.
Katanya sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai tugas yang pelbagai dan adalah menjadi harapan agar para wartawan memainkan peranan mereka dalam menyampaikan perkara yang sebenarnya dan membetulkan persepsi masayarakat berhubung isu berkenaan.
Beliau juga berharap media boleh memainkan peranan memperbetulkan persepsi rakyat berhubung peranan Petronas yang sering didakwa tidak mahu membantu meringankan beban rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga minyak dan krisis makanan.
"Persepsi rakyat, Petronas ada banyak duit dan tidak mahu menggunakannya untuk membantu rakyat. Walaupun saya sudah menerangkan berkali-kali bahawa persepsi itu tidak benar, tetapi rakyat tidak percaya," katanya.
Selain itu, katanya media massa juga boleh membantu kerajaan dalam usaha memperbetulkan gaya hidup masyarakat yang kini dilihat semakin gemar membazir.
"Pembaziran ini berlaku bukan dari segi makanan, tetapi juga elektrik, dalam keadaan terang benderang pun masih nak pasang lampu.
"Cara hidup seperti ini perlu diubah supaya kita tidak lagi merasa tertekan sangat atau terlalu susah (dengan kenaikan harga minyak dan makanan)," katanya.
Mengenai peranan MPI pula, Perdana Menteri berharap ia dapat menjadi institusi yang berintegriti dan mencapai taraf antarabangsa serta berupaya memberi latihan kepada pengamal media tempatan dan negara Asean mengenai undang-undang dan etika kewartawan.
Pada majlis itu, Abdullah turut melancarkan buku bertajuk "Penulisan Berkesan Media Cetak, Elektronik dan Web" terbitan MPI.
No comments
Post a Comment