Nasimuddin inspirasi ahli perniagaan baru

KUALA LUMPUR: Kepulangan ke rahmatullah pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin di Los Angeles, Amerika Syarikat, pagi Khamis lalu akibat barah paru-paru, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata negara kehilangan seorang tokoh perniagaan Melayu yang berjaya dan harus menjadi contoh kepada semua.

“Saya kenal rapat dengan beliau dan memahami semangat inovasi dan pandangan jauh Allahyarham. Beliau nampak peluang yang ada dan berusaha gigih merealisasikannya.



“Saya sangat sedih dan mengucapkan takziah kepada Puan Sri Zaleha Ismail dan keluarga,” katanya.

Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar, pula menyifatkan SM Nasimuddin sebagai seorang perintis dan usahawan paling berjaya.

Ia terbukti menerusi kejayaan beliau menjadikan Kumpulan Naza sebagai kumpulan automotif yang disegani di Malaysia dan luar negara, katanya.

Beliau berkata, SM Nasimuddin banyak melakukan perubahan dalam industri automotif negara dan beliau adalah seorang tokoh usahawan yang sangat fokus dan komited serta tidak memandang rendah keupayaan orang lain walaupun pesaingnya.

Syed Hafiz berkata, SM Nasimuddin juga mengambil berat perkembangan automotif negara termasuk perkembangan prestasi dan pencapaian Perodua, walaupun Allahyarham sendiri mempunyai empayar perniagaan yang besar.

Beliau yang pernah duduk semeja dan berbincang mengenai prestasi Perodua bersama Nasimuddin turut menyifatkan pemilik Kumpulan Naza itu mempunyai ‘personal touch’ di Perodua.

“Perbincangan kami berlangsung amat baik sekali. Saya boleh katakan beliau begitu mengambil berat dan berminat untuk berbincang dan merangka strategi bagi melariskan lagi penjualan kereta Perodua di sekitar kawasan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur,” katanya.

Kumpulan Naza adalah pengedar bagi Perodua untuk kawasan berkenaan.

Syed Hafiz yakin Kumpulan Naza akan terus berjaya hasil bimbingan Allahyarham sebelum ini dan perjuangannya akan diteruskan.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan SM Nasimuddin sebagai contoh kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau berkata, Nasimuddin mempunyai pendekatan luar biasa bagi mengembangkan perniagaan bermula dengan hanya menjual kereta diimport, kemudian mengadakan kerjasama dengan syarikat luar negara bagi mengeluarkan kereta tempatan dengan jenamanya sendiri.

“Dia membuktikan DEB mampu menjayakan Bumiputera kalau mereka menggunakan peluang itu dengan cara yang baik.

“Kalau semua yang dapat kemudahan sama seperti beliau berbuat demikian hari ini, kita mungkin mencapai lebih daripada matlamat DEB itu sendiri,” katanya.

Jenazah Allahyarham diterbangkan ke Malaysia dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH94 dan dijangka tiba pada jam 1.40 pagi ini.

Pengarah Urusan Weststar Group of Companies, Datuk Seri Syed Azman Syed Ibrahim, pula berkata beliau terkejut mendengar kematian Nasimuddin.

“Beliau ialah usahawan Bumiputera paling berjaya dalam industri automotif. Malaysia kehilangan tokoh dan ia adalah kehilangan besar,” katanya.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Mohamed Izat Emir, berkata Nasimuddin adalah usahawan terbilang, tetapi sentiasa merendah diri.

“Beliau memiliki personaliti menarik yang menjadi inspirasi kepada ahli perniagaan yang baru meningkat naik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak, berkata Nasimuddin adalah contoh terbaik usahawan Bumiputera yang mahu dilahirkan Malaysia.

“Beliau diberi peluang dan menggunakannya untuk membangunkan perniagaan yang kukuh dan berjaya, tanpa meminta sokongan atau bantuan.

No comments

Powered by Blogger.