Bersua muka & beramah mesra dgn Datin Seri Fatimah - Isteri MB Perak

Oleh KuYam

"
Rabu, 7 Mei 2008, 3.00 petang – detik sejarah bagi ku, rakyat marhaen Perak Darul Ridzuan. Itulah pertama kali daku melangkah masuk ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak, yang hanya biasa ku tinjau dari kejauhan entah berapa ribu kali sebelum ini, dalam rangka lawatan bersama-sama teman-teman yang lama dan baru, bertujuan bertemu dan mengenali isteri MB, Datin Seri Fatimah yang agak ‘low profile’, dengan lebih dekat lagi.


Ungkapan ‘mesra rakyat’, antara lainnya, sering disebut oleh MB dalam mempercirikan Kerajaan PR Perak ini. Terbukti bahawa ungkapan itu bukan omong kosong. Sebaik saja kereta kecil ku menyusur tiba di muka pintu masuk utama yang kelihatan gah itu, ia dibuka tanpa lengah dan banyak soal oleh anggota polis bertugas dengan mesra dan senyuman. Wah! Terasa dihargai. Kedatangan kami sudah dijangka dan kami dipersilakan masuk terus ke lapangan meletak kereta. Perasaan ku seperti kanak-kanak yang dilepas bebas dalam kedai permainan Toys-R-Us! Suka sekali! Satu demi satu gambar diambil buat kenangan.

Melangkah masuk ke ruang tamu, ‘kekosongan’ dan kesederhanaan kediaman rasmi itu menarik perhatian ku. Terlintas di fikiran, betapa biasanya rumah rasmi MB ni. Kemudian pemerhatianku terjawab apabila diketahui bahawa hampir semua isi rumah itu telah diangkut keluar sebelum dihuni oleh MB baru dan diganti dengan perabot-perabot asas sederhana yang ada ini. Terlintas pula fikiran lain, ‘Bukan ke ini rumah rasmi MB? Boleh ke mantan MB dan keluarganya anggap segala isi rumah itu sebagai hak peribadi dan membawanya keluar?” Pelik. Untuk bersangka baik, mungkin segala perabot dan perhiasan tu dibeli dengan wang mereka sendiri, kut.

Tidak berapa lama, Datin Seri muncul. Tinggi, berwajah tenang dan ayu, kami disapa mesra. Berwatakan simple dan lemah lembut, ibu kepada lapan cahaya mata ini mengalu-alu kedatangan kami dan majlis dimula dengan bacaan Al-Fatihah, disusuli dengan sedikit kata-kata alu-aluan oleh PAnya, Puan Hamisah. Kemudian Datin Seri mencadangkan setiap kami memperkenalkan diri masing-masing, dimulai dengan beliau sendiri. Kerendahan diri dan keikhlasan jelas tercermin di wajah dan nada suaranya. Daku tertarik. Semoga kekal begini.

Perbualan menjadi lebih rancak selepas selesai sesi ta’aruf atau suai kenal. Kesempatan ini digunakan untuk melontar berbagai-bagai idea bernas, khususnya untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti kaum wanita, di bawah naungan Datin Seri. Datin Seri sendiri mengharapkan dan menghargai sokongan dan inisiatif sedemikian. Hampir 2 jam kami dilayan mesra oleh Datin Seri yang tidak jemu-jemu melayan ‘kerenah’ kami meminta untuk bergambar dengan beliau, seorang demi seorang.

Detik manis itu masih segar di ingatan. Mungkin akan terus terpahat di situ. Daku bersyukur dan bangga mempunyai seorang MB dan isteri yang beriman, berjiwa rakyat, berperibadian luhur dan ‘cukup-cukup mesra rakyat’ (meminjam kata-kata MB).

No comments

Powered by Blogger.