Jangan ghairah membakar kelambu angkara nyamuk yang celaka


aya sendiri agak keliru dan kabur, saudara bagaimana?

Bukannya kita mahu menjadi juara perjuangan bangsa yang sempit dan ekstrim, tidak kita bukan “racist”. Tetapi hakikatnya pisau setajam manapun tidak dapat mengikis identiti bangsa yang terlekat dan tertunjam kukuh dalam tubuh dan tulang-belulang diri ini. Benar Rasulullah saw benci dan tidak memperjuangkan kebangsaan Arab, tetapi Islam, namun tidaklah sampai keperingkat bangsa Arab kehilangan statusnya selepas Islam tertegak. Sehingga ke hari ini bangsa Arab tetap bergelar Arab cumanya diperbaiki dan disempurnakan dengan acuan Islam.

Melalui identiti bangsa, saya adalah Melayu yang beragama Islam, sebagaimana ada bangsa Cina yang beragama Islam dan India yang beragama Islam, dan agama-agama lain.

Semua ketahui pra 1957 bangsa Melayu adalah penduduk asal negara ini, sehinggalah disahkan dan diterima mereka yang bermastautin dari kalangan bangsa Cina dan India, atas persetujuan bersama sebagai warganegara Tanah Melayu yang merdeka selepas itu dan berlarutan sehinggalah ke hari ini. Maka terbentuklah negara kita yang merdeka dan tercinta ini dengan tiga bangsa dominan iaitu selain Melayu adalah Cina dan India.

Ianya tidak menjadi isu lagi, namun kita juga jangan lupa sejarah bahawa lantaran penerimaan ini maka turut diterima bahawa bangsa Melayu ini perlu diberikan keistimewaan lantaran status Bumiputera mereka itu, mereka yang jauh ketinggalan samada dari sudut ekonomi mahupun pendidikan perlu dibantu tetapi tidak pula menidakkan bantuan yang sama kepada bangsa-bangsa lain yang juga bermasalah.

Agama orang Melayu, iaitu Islam diangkat sebagai agama rasmi negara dan begitu juga bahasanya iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pakaian orang Melayu iaitu Baju Melayu diangkat sebagai Baju Kebangsaan. Raja-raja Melayu, diangkat sebagai institusi tertinggi kepimpinan negeri-negeri dan negara. Ini semua juga diterima atas dasar tolak-ansur dan semangat perpaduan negara.

Boleh tidak kita pupuk apa yang ada, perbaiki mana yang longgar dan “move on” sebagaimana biasa demi perpaduan negara? Mengapa pada hari ini ada yang merasakan bahawa status quo yang ada ini perlu dirobah atas nama kesaksamaan. Bangsa-bangsa Melayu, Cina dan India ini perlu dikenali dengan satu identiti sahaja iaitu Bangsa Malaysia, sekaligus bakal melarutkan identiti bangsa yang telah diwarisi sekian lama.

Hanya melalui Bangsa Malaysia barulah kita semua setaraf, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi? Hanya apabila kita hapuskan status Bumiputera barulah semua rakyat terbela? Inikah jalan penyelesaian terbaik, inikah yang dimahukan oleh kesemua 24 juta rakyat Malaysia?

Saya melontarkan perkara ini kerana dimuka 6 akhbar The Sun hari ini seorang tokoh politik veteran menyeru agar dirunding semula “Kontrak Sosial” kita.

Apabila ada pihak menyuarakan berkenaan perlaksanaan Islam, peraturan dan perundangan Islam, pihak itu ditempelak dengan pelbagai tuduhan dan cemuhan, bercanggah dengan perlembagaan, membangkitkan kemarahan bangsa dan agama lain dan berbagai lagi. Tetapi apabila kita bangkit menuntut perundingan semula “Kontrak Sosial”, menyemak dan merongkai semula warisan kita turun-temurun, kita dikatakan patriotik, negarawan Malaysia sebenar.

Bagi saya yang mengekploitasi status quo yang ada adalah pimpinan parti yang berkuasa sejak Merdeka, merekalah yang telah memporak-perandakan perlaksanaannya. Realitinya pentadbiran mereka bukan hanya telah meminggirkan bangsa-bangsa lain malah kalangan bangsa Melayu sendiri ramai yang terpinggir khasnya orang-orang Melayu yang menyokong pembangkang dan orang-orang Melayu dalam kelompok mereka yang terjerat lantaran kesetiaan kepada tokoh-tokoh tertentu.

Apa yang telah disepakati dan diwarisi itu adil ketika Merdeka dan sesungguhnya praktikal sehingga kini, cuma petualangnya adalah orang-orang yang diberi amanah untuk melaksanakannya, bukan hanya orang Umno malah termasuklah MCA dan MIC dan kemudiannya Gerakan dan lain-lain.

Kerana itu berhati-hatilah dalam membuat tuntutan, jangan sampai angkara keghairahan kita, semua yang dibina roboh dan dah;ah roboh lebih malang lagi ia menghempap pula diri kita sendiri.

roslan sms

No comments

Powered by Blogger.