Masyarakat Siam bangga jadi rakyat Kelantan


Biar pun bilangannya tidak ramai namun masyarakat Siam di negeri ini melahirkan rasa megah kerana menjadi rakyat Kelantan.

Malah lebih membanggakan lagi apabila mereka mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Melayu Kelantan sejak zaman berzaman lagi.

Ketua Majlis Sangha Kelantan, Eh Chot a/l Cha Chan berkata, masyarakat Siam megah menjadi rakyat negeri ini kerana keunikan yang tidak terdapat di negeri-negeri lain.

?Semangat toleransi kehidupan masyarakat berbilang kaum di Kelantan begitu unik sekali. Semangat muhibah begitu kuat diamalkan.

?Sebenarnya ada titik pertemuan dalam kehidupan iaitu amalan rakyat Kelantan yang mengutamakan nilai-nilai murni, adat sopan dan menghormati ibu bapa,? katanya pada majlis muhibah masyarakat Siam bersama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Wat Phikul Thong Kampung Terbak di sini, kelmarin.

Menurutnya orang Melayu dan Siam sama-sama memuliakan ibu bapa yang menjadi titik pertemuan utama antara kedua-dua masyarakat.

Kira-kira 1,000 penduduk tempatan yang terdiri di kalangan masyarakat Siam, Melayu dan India hadir pada program tersebut.

Rombongan masyarakat India dari Kulim Kedah dan Kuala Krai turut hadir pada program tersebut yang bermula jam 3 petang.

Hadir sama Ketua Sami Buddha Kelantan, Phravicarnvuthikhun, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, sami-sami serta pemimpin masyarakat Siam.

Eh Chot berkata, di negara ini terdapat 100 wat Siam dan 20 daripadanya terdapat di Kelantan.

Menurutnya bilangan wat Siam di Kelantan merupakan yang kedua terbanyak di negara ini selepas Kedah sebanyak 40 wat.

?Biar pun terdapat 20 wat di negeri ini namun kebebatannya ia menjadi daya tarikan pelancong disebabkan keunikan yang tersendiri,? katanya.

Di Kelantan terdapat patung Buddha tidur yang kedua terbesar di dunia. Selain itu patung Buddha duduk yang kedua terbesar di Asia Selatan.

Sedangkan bilangan penduduk Siam di Kelantan seramai 13,000 orang yang mendiami 30 kampung.

Penduduk Siam tinggal di kampung-kampung di Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu.

Eh Chot turut melahirkan rasa syukur kerana masyarakat Siam sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri biar pun bilangan penduduknya tidak ramai.

Bilangan wat Siam paling banyak di Kelantan terdapat di Tumpat iaitu sebanyak 12 buah.

Pada majlis itu beliau turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan negeri termasuk tanah-tanah tapak wat yang belum digazet di atas nama wat yang didakwanya tidak diselesaikan sejak 50 tahun lalu.

Selain itu peluang orang Siam memiliki tanah di kawasan yang baru dimajukan kerajaan negeri, peluang memiliki rumah atau kedai mengikut harga Bumiputera dan bantuan untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan dan kesenian serta biasiswa bagi pelajar cemerlang.

Mengulas mengenai tuntutan tersebut Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai masalah rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

?Masalah tanah wat yang belum digazet diselesaikan mengikut prosedur biasa dengan mengemukakan permohonan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan sebelum diangkat kepada kerajaan negeri.

?Begitu juga masalah biasiswa bagi anak-anak orang Siam yang cemerlang sentiasa diberi perhatian kerana ia sudah menjadi amalan sejak zaman Datuk Asri lagi,? ujarnya.

Contohnya, kerajaan PAS pernah memberi biasiswa kepada Datuk Dr Ng Yen Yen yang berasal dari Pasir Puteh. Beliau sekarang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarkat dan Ketua Wanita MCA

No comments

Powered by Blogger.