Jom Heboh: Mufti Perlis Tampar Muka Menteri Penerangan..
SYABAS Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza! Kerana tertulis di blog beliau “Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom Heboh tersebut.” Walaupun tak berani nak haramkan secara terus terang, tetapi teguran-teguran begini membuktikan beliau adalah seorang Mufti yang prihatin.
Beliau menegaskan, teguran mahupun surat bantahan yang dikeluarkan oleh Jabatannya tidak bermaksud mengharamkan Jom Heboh, tetapi sekadar satu pemantauan untuk memastikan tidak ada perkara yang tidak elok berlaku. Ketegasan yang cuba ditekankan oleh Mufti antara lain beliau mencadangkan garis panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis.
1. Program Jom Heboh’ tanpa konsert’ adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis.
2. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin
3. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan.
4. Artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Sohaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.
5. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan
6. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan
7. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.
Melihat kepada panduan yang digariskan oleh Mufti tersebut amatlah berhati-hati, ‘bagai menarik benang dalam tepong’ kata pepatah Melayu. Benang yang ditarik tidak putus dan tepung pun tidak berselerak.
Hal ini membuktikan bahawa sasaran kritikannya bukan sahaja kepada pelaku-pelakunya seperti yang pernah disebutkan oleh sebagian dari penulis-penulis, ‘…Seharusnya teguran yang dibuat adalah satu tamparan hebat buat semua artis yang berada dalam kelompok 'bukan artis contoh'…’ tetapi sebenarnya adalah kepada Menteri Penerangan sendiri. Apakah agama dan umat Islam di Perlis tidak sama dengan umat Islam di negeri-negeri lain dalam Malaysia? Apakah di negeri-negeri lain tidak sesuai dengan peraturan begini?
Kalau tujuan peraturan itu hanya untuk negeri Perlis sahaja, apa guna beliau tulis dalam blog yang seluruh dunia Melayu membacanya? Jadi sebenarnya, bukan Mufti itu menampar artis-artis tetapi menampar muka Menteri Penerangan sendiri. Kementerian Penerangan perlu sedar dan patut merasa sakit, kerana banyak program-program tv di Malaysia memperlihatkan ‘nilai-nilai kebodohan’.
Belajarlah dari kejatuhan Menteri Penerangan dahulu yang ‘degil’ dan tidak prihatin terhadap kehendak rakyat. Saya kenal Datuk Ahmad Shabery Cheek semasa bersama Parti Semangat 46 dulu dan pernah memberi taklimat di Pusat Tarbiah PAS Taman Malewar. Saya yakin beliau pun sedar bahaya hiburan seperti disebutkan, mungkin beliaupun ingin menggunakan kaedah menarik benang dalam tepung juga.
Saya nasihatkan, rentap saja benang tersebut kerana muka Datuk sudah ditampar. Kadang-kadang kebaikan itu lebih berkesan bila datangnya dari atas, seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan!
No comments
Post a Comment