Umno: Perjuangan tersasar, raikan ulangtahun ke-62 dalam keadaan nazak
Umno: Perjuangan tersasar, raikan ulangtahun ke-62 dalam keadaan nazak
Mohd Rashidi Hassan
Sun | May 11, 08 | 11:59:39 am MYT
Sambutan memperingati ulangtahun kelahiran Umno pada 11 Mei 1946, tahun ini amat berbeza dengan sambutan yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini.
Sambutan tahun ini amat hambar kerana orang-orang Umno tidak pernah menerima hukuman yang sebegini berat, apabila ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lepas.
Selama lebih 50 tahun Umno menerusi gabungan Perikatan dan Barisan Nasional begitu 'enjoy' dengan kuasa pemerintahan mutlak dengan menguasai lebih dua pertiga kerusi Parlimen di peringkat Persekutuan.
Umno dan parti gabungannya juga menguasai semua negeri secara mutlak kecuali Kelantan dan Terengganu (1999-2004) sehingga PRU lepas.
PRU 2008 benar-benar menguji kewibawaan Umno untuk terus kekal sebagai parti tonggak pemerintahan negara.
Setelah 62 tahun berkuasa penuh, tanpa diduga rakyat, memberikan signal bahawa nama Umno tidak sinonim dengan kuasa yang memerintah sebuah kerajaan.
Di Kelantan, Umno sudah lama menjadi pembangkang. Di Terengganu juga Umno pernah menjadi pembangkang. Sekarang Umno dipilih rakyat untuk menjadi pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Gelaran pembangkang sebelum ini, disandang PAS, DAP, KeADILan, PRM dan lain-lain.
Kini Umno dan sekutu mereka dalam BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain adalah pembangkang di enam negeri (termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jika sebelum ini Umno dan sekutunya begitu alergi dengan gelaran pembangkang, namun itulah hakikatnya sekarang.
Umno bukan lagi parti yang didokong rakyat untuk berada ditampuk kuasa, malah Umno sudah dilabel dengan gelaran pembangkang.
Ramai pemimpin-pemimpin Umno yang popular dan gah ditampuk kuasa sudah bergelar Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.
Dalam keadaan sekarang, tidak mustahil Presiden Umno boleh menjawat jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen pula.
Justeru perhimpunan memperingati ulangtahun ke-62 Umno hari ini, disambut dengan penuh keserabutan kerana PRU ke 12 meninggalkan persoalan besar iaitu adakah Umno masih lagi relevan?
Perhimpunan hari ini bukannya untuk berseronok-seronok bagi Umno seperti tahun-tahun sebelumnya.
Hari ini Umno harus dibedah, dimuhasabah dan dikaji semula hala tuju perjuangannya.
Jika tidak berlaku sebarang perubahan, maka daripada berkuasa Umno menjadi pembangkang, dari pembangkang, Umno akan tersimpan dalam lipatan sejarah di muzium.
Semua ini tidak mustahil berlaku. Kata Laksamana Hang Tuah memang betul, 'tak Melayu hilang di dunia', tetapi parti Melayu seperti Umno tidak boleh mengelak untuk lenyap jika tidak banyak perubahan dilakukan agar ia diterima kembali oleh rakyat.
Justeru apakah perubahan yang harus dilakukan Umno sekarang ini? Perubahan dalam bentuk apa dan bagaimana harus dilakukan?
Ketuanan Melayu bukan milik mutlak Umno
Sejarah penubuhan Umno sejak tahun 1946, yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar adalah untuk memartabat dan memperjuangkan nasionalisme Melayu.
Secara khususnya Umno diasaskan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Asasnya adalah nasionalis-kebangsaan atau asabiyah Melayu, untuk ketuanan Melayu dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
Siapa sebenarnya yang melupakan perjuangan asal Umno?
Harus diingat bahawa perjuangan ketuanan Melayu bukan milik mutlak Umno. Kuasa Melayu, juga bukan hak Umno dipegang Umno buat selama-lamanya.
Yang terhakis sekarang ini adalah kuasa Umno, bukan kuasa Melayu. Jika orang-orang Melayu menolak Umno, mereka masih ada PAS dan sebahagian pemimpin utama dalam KeADILan yang terdiri dari orang-orang Melayu juga.
Umno menghadapi masalah besar sekarang ini kerana perjuangan ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan pemimpin mereka sebenarnya hanya setakat retorik.
Yang diperjuangkan mereka hanya adalah perjuangan ketuanan Umno dan pemimpin Umno.
Masalah yang berlaku ketika ini ialah, orang-orang Umno menjadi pendukung tegar kepada keputusan pemimpin mereka, walaupun keseluruhan rakyat berbangsa Melayu tidak bersetuju.
Kegagalan perlaksanaan Dasar Ekonomi baru, penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan pada tahun 1993, sistem meritokrasi, penindasan terhadap kerajaan negeri yang dikuasai (orang Melayu PAS), penghapusan bantuan Sekolah Agama Rakyat, penguatkuasaan pembelajaran Sains dan Metamatik dalam bahasa Inggeris adalah antara faktor kegagalan Umno.
Orang Melayu secara keseluruhannya tidak mempunyai kuasa politik kerana kuasa itu dimonopoli kelompok tertentu dalam Umno.
Orang Melayu secara keseluruhannya tidak mempunyai kekuatan dari sudut ekonomi. Masih ramai Melayu yang dihimpit dengan kemiskinan. Yang kaya hanya segelintir Melayu yang menjadi pemimpin Umno.
Umno juga menjadi punca utama kuasa Raja-Raja Melayu terhakis dan dihadkan pada tahun 1993. Kebongkakan pemimpin Umno terserlah dengan usaha penabalan raja baru di Kelantan.
Selain daripada itu dalam tahun 1993, media massa turut bersekongkol dengan Umno untuk menghentam Raja-Raja Melayu tertentu dengan pembongkaran pelbagai kes-kes tertentu.
Terkini, pemimpin Umno menderhaka kepada Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong dalam isu perlantikan Menteri Besar. Kes yang hampir sama di Perlis.
Justeru jika pemimpin-pemimpin Umno hari ini mendabik dada kononnya pejuang tulen kedaulatan raja, ianya sangat-sangat dipertikaikan keikhlasan mereka.
Di suatu ketika raja dihina, untuk kepentingan politik hari ini, raja didaulat semula. Apakah sikap seperti ini wajar digelar pejuang ketuanan Melayu?
Sokongan terhadap Presiden Umno tidak solid
Masalah besar kepada Umno sebenarnya adalah masalah kepimpinan.
Berbanding dengan lima Presiden Umno dari Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap pemimpin yang paling lemah bagi Umno.
Abdullah Badawi amat popular ketika menghadapi PRU ke 11 pada tahun 2004. Namun selepas empat tahun berkuasa popularitinya merudum.
Sepanjang empat tahun berkuasa Abdullah menerima kecaman yang hebat dari kalangan orang-orang Umno sendiri, khususnya bekas PM, Dr Mahathir.
Kepimpinan Abdullah dipertikaikan kerana beliau didakwa terlalu menurut nasihat anak menantunya dalam mengendalikan urusan negara dan parti.
Dakwaan seumpama ini tidak pernah berlaku kepada empat PM dan Presiden Umno sebelum beliau. Dan sepanjang 22 tahun Mahathir memerintah, tidak langsung wujud cakap-cakap bahawa beliau dipenggaruhi anak menantu atau isteri.
Sepanjang Mahathir berkuasa, anak-anaknya terbabit dalam perniagaan tetapi tidak memperolehi kekayaan, projek atau tender-tender besar secara ketara.
Anak-anak menantu beliau juga tidak mempunyai apa-apa jawatan utama dalam parti dan kerajaan.
Malangnya Abdullah tidak dapat membebaskan diri dari dakwaan seumpama ini. Anaknya, Kamaluddin tersenarai antara individu Melayu yang terkaya hanya baru dua tahun beliau menjadi PM.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar didakwa dipilih menjadi Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, dengan 'pengaruh dan kuasanya' sebagai menantu PM.
Abdullah juga didakwa terlalu mempercayai kelompok elit muda lulusan Oxford - Cambridge sehingga mengetepikan pejuang tulen Umno yang banyak pengalaman dalam urusan parti dan pemerintahan.
Anak menantu dan rakan-rakan terdekat mereka didakwa menguasai tingkat 4 pejabat PM di Putrajaya, menguasai beberapa syarikat korporat (seperti Scomi, Equine Capital, ECM-Libra dsbnya) yang mendapat pelbagai projek dan pembiayaan dan menguasai media dalam waktu yang singkat.
Lebih malang lagi, menantunya, Khairy didakwa antara punca utama kekalahan BN dalam PRU lepas oleh orang-orang Umno sendiri.
Apakah Abdullah sahaja yang harus dipersalahkan?
Kesalahan berat yang ditimpakan ke atas Abdullah, berterusan sehingga kini, dengan suara-suara dalam Umno yang mahu beliau meletakkan jawatan dan segera mengemukakan pelan persaraan.
Apapun yang berlaku, apakah wajar kesalahan orang-orang Umno menuding jari terhadap Abdullah semata-mata?
Masalah besar kepada krisis kehilangan kepercayaan rakyat terhadap Umno, bukan 'hasil karenah' Abdullah sahaja, apakah Mahathir, Najib, Muhyiddin dan ramai lagi, tidak punyai kesalahan?
Kemaruk kuasa yang begitu lama menjadikan Umno lalai. Pemimpinnya juga lalai. Dasar yang dilaksanakan hanya melahirkan kelompok elitis Melayu, bukan untuk kepentingan kelompok besar orang-orang Melayu.
Kegagalan dasar ini menjadikan Umno sinonim dengan gelaran 'Korupsi, Kronisme dan Nepotisme'.
Persepsi hendak kaya melalui Umno, jawatan dan kuasa dalam Umno menyebabkan perjuangan asal mereka sudah tidak tulen.
Rakyat, khususnya orang-orang Melayu, juga wujud pada minda mereka kesedaran bahawa amalan korupsi, kronisme dan nepotisme sudah merosakkan perjuangan asal Umno untuk agama, bangsa dan negara.
Justeru dalam menyambut ulangtahun ke 62 ini, Umno harus memastikan persepsi buruk ini dihapuskan dengan keberanian melakukan perubahan drastik demi masa depan mereka.
Umno harus membulatkan tekad, mengetepikan kepentingan peribadi dengan bersungguh-sungguh.
Namun pada saat ini, Umno agak sukar untuk berubah. Transisi atau perubahan kuasa secara damai, belum nampak tanda-tanda akan berlaku.
Perpecahan dan perebutan kuasa dalam Umno menjelang Disember depan sudah tidak mampu dielakkan lagi.
Hakikatnya kini, Umno menyambut ulangtahun kelahirannya dalam keadaan yang nazak.
Siapakah yang mampu merubah Umno dan mengembalikan ia kepada landasan yang betul untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat?
Orang-orang Umno sendiri tidak tahu jawapannya.
No comments
Post a Comment