Hari Jumaat- MB Nizar hadir dilima buah masjid serentak!
Cuba anda bayangkan, lima buah masjid dari mukim yang berlainan menalifon anda pada satu hari Jumaat yang sama bertanyakan :
Panggilan pertama menjadikan anda tergamam tentunya kerana anda kurang pasti; mungkin anda terlupa telah berjanji kepada rakyat disitu.
Panggilan yang kedua datang dari masjid di daerah lain; juga bertanyakan pertanyaan yang serupa yang kini menyebabkan anda terfikir ; tak mungkin anda ada membuat persetujuan untuk hadir dimasjid tersebut dan anda terpinga-pinga dibuatnya.
Apabila panggilan ketiga juga dengan pertanyaan yang serupa, tentu anda berasa sesuatu yang amat pelik dan terasa sesuatu yang direncanakan oleh musuh anda.
Dan apabila menerima panggilan yang keempat , anda amat pasti, bahawa musuh anda merangka satu komplot supaya orang ramai membenci anda. Bahawa mereka telah mewarwarkan kehadiran anda di mesjid- mesjid tersebut dan orang ramai telah percaya dan amat mengharapkan ketibaan anda ketempat mereka!
Maka apabila anda gagal menyempurnakan janji terhadap mereka, sudah tentu masing-masing terasa hampa dan amat mudah sekali untuk menuduh anda seorang yang pembohong – janji tapi tidak di tepati.
Malah , sudah tentu mereka akan hilang kepercayaan terhadap anda dalam perkara-perkara lain dan seterusnya.
Panggilan yang kelima mungkin menyebabkan anda berfikir : alangkah bagusnya jika anda punyai ilmu seperti mana dizaman Nabi Allah Sulaiman ; dimana seorang yang 'alim telah dapat menjelmakan mahligai Balqis dihadapannya sebelum sempat mata berkerlip!
Betapa kalau punya kuasa sebegitu , anda pasti akan menjelmakan kelima-lima masjid tersebut dihadapan anda!
Malangnya, anda tidak punyai kuasa hebat semacam itu. Kuasa yang anda sedang miliki sekarang ini pun amat sukar mereka percayai.
Ya, mereka masih tidak percaya 6 boleh berkuasa keatas 7 dan juga 18 yang sangat bermusuhan! Malah 6 dapat mengatasi bilangan 28! Siapa boleh percaya keajaiban angka 6 ini! Angka 6 ini sangat perkasa dan amat sakti sekali hingga menyebabkan Tajol mengurungkan dirinya 3 hari 3 malam menangis dan tidak mahu bertemu wartawan ! Cumanya mereka segan mahu mengiktirafnya secara gentleman!
Ya, begitulah yang dialami oleh Dato’ Seri Ir Mohamad Nizar. walaupun beliau seorang Menteri Besar disebuah negeri bernama Perak darul Ridzuan, mereka terus menggugat kedudukannya tak sudah-sudah dengan pelbagai cara.
Hingga kini,setelah lebih 60 hari, Nizar menjadi Menteri Besar, beliau masih belum berkesempatan untuk menyampaikan khutbah dimana-mana masjid sekalipun,walaupun di kampung-kampung. Mengapa?
Kalau saya punyai kesaktian ilmu sepertimana manusia dizaman Nabi Allah Sulaiman itu,sebelum sempat mata paling sepet berkerlipan; pasti saya akan jelmakan dihadapan kita semua , tokoh yang menghalang Nizar daripada menyampaikan khutbah dimasjid-masjid!
Adakah kerana Nizar tidak bersedia menyangkutkan baju politiknya dipagar masjid?
No comments
Post a Comment