Lihatlah kepada simptom penyakit itu yang sudah ditunjukkan dalam prestasi Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini apabila UMNO sudah lemah dan kini ia

Lihatlah kepada simptom penyakit itu yang sudah ditunjukkan dalam prestasi Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini apabila UMNO sudah lemah dan kini ia diancam pelbagai masalah termasuk daripada rakan Barisan Nasional sendiri.

By ARSHAD KHAN

AHAD lepas, genaplah usia 62 tahun parti keramat orang Melayu iaitu UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang menjadi tulang belakang memperjuangkan Melayu sejak sebelum merdeka sehingga kini.

Bermula dari penubuhannya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, UMNO di bawah kepimpinan pengasasnya Datuk Onn Jaafar, terus lantang dan tegas mempertahankan institusi Melayu meliputi agama Islam, kedaulatan raja-raja Melayu dan bumi Tanah Melayu.

Hasil perjuangan itu terus kekal sehingga hari ini untuk menafaat semua umat Malaysia tanpa mengira ia Melayu atau tidak, mahupun mempersoalkan samada dia ahli UMNO atau tidak.

Ini kerana UMNO bukanlah parti ekstremis Melayu atau ekstremis Islam yang terlalu mengutamakan sentimen berbanding kepentingan khalayak untuk manfaat semua di bumi Tanah Melayu ini yang sudah bergelar Malaysia sejak September 1965.

Di bawah pentadbiran enam Presiden dan 22 Setiausaha Agung, kini UMNO kekal menjadi parti terbesar orang Melayu dengan keahlian seramai 3.3 juta orang di bawah tiga sayapnya, Pemuda, Wanita dan paling bongsu, Puteri UMNO.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob, jika dibandingkan usia 62 tahun ini kepada hari jadi seorang individu, pastinya ia sudah pun melepasi usia persaraan sama ada 55, 56 atau yang terbaru diumumkan Perdana Menteri, pencen pada usia 58 tahun.

Kata beliau, pada usia pascapencen itu, manusia sudah mula meniti peringkat senja menantikan maghrib atau daripada istilah lebih intelek-tidak produktif, tidak kondusif serta kurang profesionalisme.

Secara fizikalnya pun, pada usia pascapencen ini seseorang itu sudah keguguran rambut, berkedut seluruh kulit tubuh, kurang daya ingatan, mudah melatah, lemah tenaga zahir dan batin serta mudah emosional.

"Adakah semua ciri-ciri ini boleh disinonim juga dengan hari jadi ke-62 UMNO? Mungkin ada beberapa persamaannya tetapi terdapat juga beberapa kontranya.

"Melihat kepada situasi parti UMNO pada era Pascapilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) ini, pasti ramai yang bersetuju jika dikatakan usia 62 tahun UMNO itu sama ciri-cirinya dengan usia 62 tahun manusia," katanya.

Tetapi jelas beliau, ia tidak kepada sebuah parti secara keseluruhannya, sebaliknya kepada individu dalam kepimpinan parti UMNO itu sendiri kerana memang ada yang sudah menonjolkan ciri sedemikian seterusnya ia mencerminkan imej negatif UMNO.

Bagaimanapun katanya, tidak semua individu yang pencen atau yang berusia 60-an itu mempunyai ciri sedemikian kerana Rasulullah sendiri pun pada usia 60-an masih terus gigih berdakwah, malahan turut serta dalam peperangan.

Gagah "Itu Nabi, baginda bersifat maksum. Baiklah.. jika begitu, lihat kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sudah pun mencecah 78 tahun tapi masih gagah meredah hutan dan air banjir untuk tetap bersama rakyat ketika bencana," katanya.

Ini bermakna jelas beliau, UMNO juga boleh terus gagah sedemikian asalkan beterusan menjaga kesihatan ahli-ahlinya, mengutamakan makan minum akar umbinya dan sentiasa beringat bahawa 'makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang'.

Apabila kepimpinan UMNO terlalu ghairah makan sahaja tanpa henti walaupun sudah kenyang dan sendawa berkali-kali sedangkan di akar umbinya hanya sekadar meneguk segelas air kosong sahaja, maka kesihatan UMNO pasti akan terjejas, kata beliau.

Dan sekiranya ini berterusan berlaku sehingga usia UMNO terus meningkat ke usia warga emas hari ini, ia mula dilanda pelbagai penyakit kronik lalu lemah dan tidak mustahil akan berkubur kerana UMNO pernah dikuburkan pada 1988.

Petandanya sudah jelas kata beliau, lihatlah kepada simptom penyakit itu yang sudah ditunjukkan dalam prestasi Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini apabila UMNO sudah lemah dan kini ia diancam pelbagai masalah termasuk daripada rakan Barisan Nasional sendiri.

Bermula dengan isu keris, diikuti dengan isu kedaulatan raja Melayu, kemudiannya isu pentadbiran agama Islam dan kini ketuanan Melayu turut dipersoalkan oleh Datuk Seri Ong Tee Kiat, rakan baik UMNO sendiri dalam BN.

Kenapa ini boleh berlaku? Secara mudahnya, sesiapa pun akan mula bertindak sebaik melihat pesaingnya dalam keadaan lemah-itulah strategi.

Oleh itu, kepada semua 3.2 juta ahli UMNO hari ini, hapuskan kelemahan parti, rawatlah segala penyakitnya dan jagalah makan minum semua.

Jangan lupa juga bahawa pada usia 62 tahun warga emas atau pascapencen ini, kebiasaannya seorang bapa sudah pun memikirkan untuk mewasiat atau memindahkan peranannya sebagai ketua keluarga kepada anak-anak.

Dalam erti kata lain, golongan muda parti perlu mula diberikan lebih banyak tempat. - Utusan Online

No comments

Powered by Blogger.