Lima negeri Pakatan Rakyat sepakat bela nasib pekerja
Lima buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat bertekad akan membangunkan kesejahteraan kaum pekerja dengan membawa arus perubahan dan menjana pembangunan supaya para pekerja dapat menikmati proses pendemokrasian tulen.
Pemerintah dan majikan perlu adil dan telus dalam melaksanakan kewajipan sosial masing-masing tanpa menabur sebarang janji-janji kosong kepada para pekerja kerana ia akan menambahkan ketidakpercayaan pekerja terhadap majikan berkenaan.
Tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar telah bersepakat untuk menaikkan martabat para pekerja yang didiskriminasi selama 50 tahun sejak BN memerintah negara.
Kesepakatan itu dilaungkan dalam perhimpunan Pekerja 2008 dan Wacana Kebangsaan ke-3 `Memperkasakan Kaum Pekerja' yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, pagi tadi.
Menteri Besar yang hadir, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim (Selangor); Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (Perak); Exco Kerajaan Negeri Kelantan; Dato' Paduka Husam Musa; Timbalan Menteri Besar Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin dan Exco negeri Kedah, IR Fakhrul Rozi.
Turut hadir Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood dan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamad.
Dalam ucapan Tan Sri Khalid,beliau menjelaskan bahawa kerajaan Selangor sedang merancang melaksanakan cuti bersalin selama 90 hari bagi pekerja wanita disamping cuti tambahan bagi suami tidak lebih 10 hari.
Berhubung dengan gaji minimum katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji supaya pekerja yang sudah bertugas lebih lima tahun dibayar gaji tidak kurang RM1500 sebulan dan dasar baru akan dilaksanakan iaitu pekerja perlu mendapat gaji permulaan RM1500 sebulan.
Menurut beliau,ini berikutan pemimpin Pakatan Rakyat Selangor menyedari rakyat tidak cukup dengan jumlah gaji minimum sebulan untuk menampung kehidupan dalam senario harga barangan melambung naik.
Dalam program tersebut di sebelah petang turut diadakan dialog antara Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS, Mohd Anuar Tahir dan Syed Shahir.
Dailog tersebut mendapat sambutan membanggakan di kalangan peserta yang hadir dan kebanyakan mereka meminta kerajaan Pakatan Rakyat sepakat untuk membela nasib pekerja bawahan yang tertindas selama berada di bawah pemerintahan BN.
Program ditutup dengan ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Menteri Besar Kelantan.
No comments
Post a Comment