adakah menteri akan berbohong sekali lagi?
Harga minyak RM1.92 seliter boleh dinikmati: Shahrir
JOHOR BAHRU: Pengguna boleh menikmati harga runcit minyak petrol serendah RM1.92 seliter seperti dua tahun lalu jika harga minyak mentah di pasaran dunia berada pada AS$72 setong, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Beliau berkata penurunan harga minyak boleh terus berlaku sekiranya bahan bakar itu tidak mendapat permintaan tinggi dari negara maju, selain berlakunya kemelesetan ekonomi dunia.
“Kerajaan menurunkan harga minyak berpandukan fakta dengan mengikut kadar pertukaran ringgit dengan dolar. Contohnya, kalau lihat kepada 2006, ketika itu harga minyak mentah berada pada AS$65 setong dengan harga minyak RM1.92 seliter di Malaysia, semasa dengan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika RM3.80.
“Jadi kalau hendak nikmati semula harga RM1.92 seliter itu, maka harga minyak dunia perlu cecah AS$72 setong. Harga minyak dunia semakin menurun dan penurunan harga boleh berlaku sekiranya kurang permintaan di negara maju seperti Jepun, Eropah dan Amerika,” katanya.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian selepas merasmikan bangunan kilang zip, YKK (Malaysia) Sdn Bhd, bernilai RM6.4 juta, di Larkin, dekat sini, hari ini.
Pada 24 September lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dan diesel diturunkan sebanyak 10 sen menjadikan harga minyak petrol jenis RON 97 turun kepada RM2.45 seliter, RON 92 kepada RM2.30 seliter, manakala diesel kepada RM2.40 seliter.
Sementara itu mengulas mengenai harga santan yang dikatakan meningkat di pasaran, Shahrir berkata bahan masakan itu bukan berada di bawah barangan yang dikawal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Beliau berkata kerajaan hanya mengawal harga kelapa parut dan belum mempunyai satu mekanisme tetap bagi menentukan harga kawalan santan.
“Pengguna perlu faham, kerajaan tidak mengawal harga santan. Santan tidak boleh dikawal kerana kita tidak tahu sukatan kepekatannya. Ada permintaan santan pekat atau santan cair. Ini perkara logik yang harus difahami pengguna,” katanya. - Bernama
No comments
Post a Comment