LAMPU HIJAU UNTUK KAKI KONGKEK?
Chua Soi Lek menang jawatan Timbalan Presiden MCA. Pengaruhnya dalam MCA masih kuat. Beberapa bulan lalu, Chua Soi Lek terpaksa meletakkan jawatan dalam kabinet setelah aktiviti seks luar nikahnya berjaya dibongkar. Dia mengaku melakukan perbuatan itu dan telah meminta maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Bila Chua Soi Lek menang dalam pertandingan kali ini, ada yang boleh menerima semula kehadirannya dan tidak kurang juga yang mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh perwakilan MCA. Yang menerima berkata “Dia sudah mengaku dan meminta maaf. Berikan peluang kedua untuknya.” Bagi yang membantah pula berkata “Dia sudah terbukti tidak bermoral. Apakah MCA sudah tiada lagi calon lain yang lebih bermoral?”
Mengikut sejarah Islam, manusia yang tidak bermoral pernah diangkat sebagai pemimpin. Sebelum memeluk Islam, Saidina Umar Al-Khatab sangat terkenal sebagai individu yang ganas, kaki mabuk, kaki perempuan, pembunuh, pembuli dan sebagainya. Setelah menerima hidayah dan memilih Islam sebagai agama yang lurus dan suci, beliau tekad meninggalkan segala aktiviti yang tidak bermoral itu.
Malangnya Chua Soi Lek bukan Islam. Apapun, jika benar dia sudah insaf dan mahu mengubah tabiat buruknya, apa salahnya kita berikan peluang kedua kepadanya. Jika dia masih terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu selepas ini, tidak mustahil perwakilan MCA akan menolaknya pada pemilihan yang akan datang.
Sebenarnya, ramai lelaki yang terlibat dengan aktiviti ‘makan luar’ tetapi tidak mahu mengaku. Mungkin atas sebab itu, Islam membenarkan lelaki memiliki isteri lebih dari satu asalkan lelaki itu mampu zahir dan batin. Sekali lagi diulang, jika mampu dan bukannya jika mahu. Mampu dan mahu adalah 2 perkara berbeza.
Tetapi, dalam masa yang sama, Islam melarang keras lelaki yang sudah berkahwin melakukan hubungan seks dengan perempuan yang belum dinikahinya secara sah. Hukumannya juga berat. Pesalahnya boleh direjam sampai mati jika terbukti dirinya bersalah. Begitu indahnya hukuman Allah. Dia mengizinkan dan Dia juga melarang sesuatu perbuatan. Tentunya Allah sahaja yang lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap makhluk yang dijadikanNya.
Sebagai manusia yang beriman pada hari pembalasan, kita seharusnya sedia untuk memaafkan dan memberi peluang kedua sesama manusia. Mungkin insan yang kita anggap hina atau berdosa di dunia ini lebih dahulu memasuki syurga sedangkan insan yang kita anggap baik dan beriman itu hanya layak menghuni neraka. Siapalah kita untuk menentukan syurga dan neraka.
Sementara masih hidup di atas dunia ini, pintu taubat sentiasa terbuka untuk setiap hambaNya. Bagi yang telah sesat jalan, kembalilah ke jalan yang benar dan jalan yang diredhai oleh Allah sementara peluang masih diberikanNya. Jangan sia-siakan peluang ini.
Mengundi mungkin 5 tahun sekali, tapi mati mungkin sehari, sejam atau seminit lagi.
No comments
Post a Comment