ULASAN TERBARU MAZA

Jika anda berniaga, anda mestilah memikirkan dari segi ekonomi bagaimana hendak untung dan tidak rugi. Jika anda pengamal undang-undang, anda mestilah berusaha agar keadilan dinikmati oleh setiap yang berhadapan dengan proses penghakiman. Jika anda berpolitik, anda sepatutnya berfikir bagaimana untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Jika anda menyeru kepada Islam, anda sepatutnya berfikir bagaimanakah cara agar mesej Islam yang benar atau hidayah sampai dan berkesan untuk sasaran.

Bagi setiap bidang itu ada regunya atau hala tuju yang mesti jelas dalam pemikiran pengamalnya. Jika regu bidang ini ditukar putar sehingga tidak menepati matlamat yang sepatutnya, maka rosaklah bidang tersebut. Seseorang mungkin boleh mendapat faedah sampingan daripada bidang tertentu. Namun faedah tersebut jangan sampai menjejaskan matlamat yang asal.

Umpamanya jika pengamal undang-undang berfikir bagaimana untuk menghasilkan wang semata sehingga mengenepikan soal keadilan. Atau jika ahli politik menganggap tujuan kegiatan politiknya untuk mengaut keuntungan sekalipun mengkhianati amanah rakyat. Atau jika penyampai dakwah islam bertujuan memperolehi habuan dunia walaupun menjejaskan tujuan asal dakwah. Maka pincanglah alam, rosak imbangan dan musnah segala peraturan dan tujuan kehidupan. Namun inilah realiti yang sedang kita hadapi sekarang..

Pagi semalam (sabtu) saya menerima mesej daripada seorang sahabat yang dahulunya pensyarah UIAM dalam bidang ekonomi Islam. Beliau meninggalkan jawatannya kerana masuk bertanding dalam pilihanraya yang lepas dan tewas. Saya kenal kesungguhan cita-cita Islam dan kebaikan dirinya. Dia bukan sahaja memiliki Ph.D dalam bidang ekonomi Islam, bahkan mempunyai pengetahuan dan disiplin Islam yang baik dalam perkara-perkara yang lain.

Namun mungkin masa tidak menyebelahinya, walaupun hasratnya baik untuk membaiki kepincangan politik. Sehari dua ini, parti yang dimasukinya sibuk membuat mencalonan jawatan itu dan ini, dan dia juga mencuba nasib untuk jawatan ketua pemuda di suatu bahagian tertentu. Dalam mesejnya itu, setelah menyatakan parti yang dimasukinya tidak sesuai lagi untuk orang sepertinya, dia menyebut: “Saya kalah kepada lawan yang tidak lulus SPM, kerja penyeludup beras dan bekas penagih ubat batuk hanya kerana wang. Dia diongkosi oleh Ketua Bahagian yang melihat saya sebagai ancaman. Jawatan parti hari ini adalah jawatan yang disandang berasaskan siapa yang dapat membida harga tertinggi bukan siapa yang berkualiti dan mahu berbakti”.

Mesejnya jelas menunjukkan dia amat kecewa dengan partinya. Itulah natijahnya apabila politik yang bertujuan untuk membaiki dan mengendalikan urusan umat agar selaras dengan kehendak wahyu dijadikan medan pertaruhan demi membolot harga dan kuasa, maka manusia atau organisasi itu akan menjadi binasa.

Ustaz-ustaz dalam negara ini sering membaca hadis dhaif : “Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran”. Hadis ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Namun hadis ini sering dibaca oleh panel-panel forum atau ceramah yang kurang teliti disiplin hadis, atau agak terburu-buru ingin memenuhi hasrat pihak menaja ceramah atau forum perdana yang biasanya dianjurkan oleh pihak yang dinamakan diri dengan “kemajuan Islam’.

Malang sekali mereka melupai hadis yang sahih yang merupakan amaran Nabi s.a.w terhadap umat ini. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:

“Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia seperti mana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu (umat yang silam), lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya seperti mana mereka bersaing. Lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti mana ia telah memusnahkan mereka”.

Ya, inilah realitinya. Memang, Islam tidak menyukai kefakiran, sebab itulah diperintahkan agar setiap muslim berusaha dan bekerja, menjadi rezeki dan menanggung bebanan keluarga, juga diperintahkan agar dibantu fakir miskin. Namun ketamakan kepada harta jauh lebih merbahaya daripada kefakiran.

Apabila ketamakan menguasai diri, manusia bersaing sesama sendiri sehingga ke peringkat bunuh membunuh, jatuh menjatuh, dan tumbang menumbang. Dipertaruhkan maruah, harga diri, amanah, harta rakyat bahkan mungkin nyawa orang lain hanya semata kerana ketamakan harta. Hampir semua orang yang fakir ingin keluar dari kefakirannya, namun si tamak amat sukar untuk diheret keluar dari daerah ketamakan.

Mengubati kefakiran sebenarnya lebih mudah dari mengubati ketamakan. Penyakit kefakiran itu pula khusus untuk yang tiada harta dan amat miskin, sementara tamak boleh menimpa yang kaya dan miskin, yang jutawan dan yang dalam kefakiran. Ia boleh mengenai pemerintah dan rakyat, mat rempit dan ustaz.

Bukan Islam anti-harta, sama sekali tidak. Islam agama kerja dan mencari rezeki. Sehingga selepas solat Jumaat pun Islam tidak pernah mewajibkan untuk duduk di masjid untuk panjang-panjang. Sebaliknya disuruh untuk kita bertebaran mencari rezeki. Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai Solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)” (Surah al-Jumuah, ayat 9 -10).

Dalam ayat ini juga menunjuk Hari Jumaat pun tidak disuruh kita menutup kedai sepanjang hari, sebaliknya hanya disuruh meninggal perniagaan apabila azan dilaungkan. Jika kedai ditutup pada Hari Jumaat, tentu tiada faedah Allah mengarahkan agar meninggalkan jual beli apabila mendengar azan. Selepas Solat Jumaat disuruh sambung bekerja. Demi sesungguhnya Islam tidak anti-harta. Bahkan Nabi s.a.w. menyebut:

“Sebaik-baik harta yang baik adalah untuk seseorang yang baik” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apa yang Islam musuhi adalah ketamakan. Apabila kegilaan kepada harta memalingkan tujuan atau matlamat kehidupan, maka harta adalah perosak. Apabila kehendakan kepada harta memusnahkan agama, politik, keadilan maka harta itu menjadi fitnah. Ia akan memusnahkan rangkaian masyarakat muslim dan dunia keseluruhannya.

Hari ini dunia menderita disebabkan dasar kapitalisma yang diamalkan oleh para penindas yang menghisap darah rakyat di negara yang lemah. Kegilaan dalam mengaut keuntungan tanpa sempadan kemanusiaan telah memporak perandakan imbangan kehidupan manusia di dunia ini. Sehingga ada negara yang begitu miskin dan melarat, sedangkan di negara lain manusia begitu mewah melepasi sempadan igauan. Ketamakan harta jugalah sebenarnya yang menimbulkan kefakiran.

Maka perlaksanaan sistem Islam dalam ekonomi mestilah dapat menangkis kerakusan manusia dalam membolot harta sehingga menindas orang lain. Maka Islam mengharamkan riba kerana itulah pintu kepada kerakusan. Sistem riba itulah sekarang ini yang memiskinkan sejumlah besar manusia dalam dunia ini. Jika ada pengurusan kewangan atau perniagaan yang cuba menggunakan nama Islam tetapi tidak melepaskan diri dari unsur penindasan, maka Islam itu hanya sekadar kosmetik sahaja tanpa makna.

Barangkali orang ramai akan menyangka pengurusan itu sangat Islamik sebab ada ‘panel syariah’ yang dibayar elaun oleh pihak yang meminta difatwakan untuk bisnes mereka. Namun jika fatwa itu gagal membebas pihak yang berurusan dari penindasan ekonomi, maka itu bukan syariah namanya. Jika fatwa yang diberikan itu membebaskan pengurusan ekonomi dari unsur kezaliman dan penindasan, maka panel tersebut benar-benar menunaikan amanah ilmu.

Jangan sampai jadi cerita kononnya satu syarikat telekomunikasi yang berhempas pulas menghalal pertaruhan yang bersifat judinya dengan menjanjikan jawatan kepada seorang panel syariah yang akan dilantiknya.

Sebab itu Allah menyebut harta sebagai musuh dan fitnah iaitu ujian. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah al-Anfal, ayat 28).

Maka, kerana harta manusia sanggup jual agama atau menyalahgunakannya. Agama Allah yang diturunkan untuk memberi hidayah kepada manusia telah dijadikan saluran untuk memakan harta orang lain dengan cara yang tidak benar. Allah menyebut tentang perangai ahli-ahli dahulu yang mengetahui Taurat dan Injil tetapi menyalahgunakannya.

Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam)..” (Surah al-Taubah ayat 34).

Perangai Ahlul Kitab berterusan sehingga ke zaman ini.

Kematian merupakan kesedihan dan kita disuruh membantu keluarga si mati. Namun berapa ramai manusia yang menggunakan nama agama mengambil bayaran itu dan ini daripada keluarga si mati. Direka bacaan dan solat itu dan ini yang tidak buat oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabah, lalu bayarannya dikenakan kepada keluarga si mati. Seakan di tangan golongan yang mengambil kesempatan inilah kunci pahala.

Inilah masalahnya, jika kita berfikir bagaimana ingin menjadikan Islam sebagai punca mengaut keuntungan, maka agama ini akan menjadi mangsa. Saya masih teringat cerita bagaimana ada pihak tertentu yang menubuhkan persatuan ‘solat jenazah’ dengan tujuan menghasilkan pendapat sampingan. Apabila ada saja kematian maka mereka pun akan dijemput dengan bayaran tertentu. Tanpa bayaran mereka tidak akan hadir.

Upacara-upacara ‘tambahan’ yang dikaitkan dengan agama juga akan diwujudkan yang mana bilnya terpaksa dibayar oleh keluarga si mati. Apabila mereka hadir ke tempat kematian wajah mereka kelihatan sedih dan sayu. Namun, apabila banyak hari tiada kematian atau pihak yang menjemput bagi upacara kematian, mereka sesama sendiri bersungut ‘tiada siapa-siapa yang nak mati ke? Sekurang-kurangnya lepas juga duit kopi..”

Maka, tidaklah dapat diketahui, apakah mereka suka dengan kematian atau dukacita mengenangkan keluarganya? Adakah di sana akan terdapat keikhlasan doa daripada mereka yang bersolat jenazah untuk mendapatkan upah? Namun masyarakat yang jahil termakan juga..

Bukan sedikit manusia yang berfikir bagaimana untuk menggunakan kehendak orang ramai kepada agama sebagai sumber pendapatan. Umpamanya, saya amat terkejut apabila dimaklumkan ada syarikat yang mengambil upah ‘menyamak’ rumah atau bangunan yang hendak didiami oleh orang Islam.

Barangkali rumah tersebut akan dibasuh dengan selut kerana bimbangkan penghuni bukan muslim yang tinggal sebelumnya membawa masuk anjing atau babi. Sedangkan Allah memaafkan apa yang tidak diketahui dan zahir. Namun mereka berlebih-lebihan. Maka habislah rumah dan bangunan itu berlumuran selut. Kosnya pun boleh tahan.

Namun, seperti mana sebahagian mereka yang terpengaruh dengan kempen ‘jualan langsung’ maka ada orang Islam yang menempah ‘kontrak selut’ itu kerana kononnya nanti solat tidak diterima Allah sebab ada kesan najis yang kita tidak nampak. Untunglah syarikat berkenaan apabila ada yang tidak faham hakikat Islam atau berjaya dikaburkan atas nama Islam. Padahal, pada zaman Rasulullah s.a.w anjing berkeliaran dan ramai orang arab yang membela anjing.

Apabila Islam datang, Islam mengizinkan anjing digunakan untuk buruan dan menjaga keselamatan, tetapi tidak untuk belaan biasa di rumah. Pada masa dahulu, para sarjana Islam mengulas larangan tersebut menyatakan antara hikmah daripada larangan tersebut kerana anjing yang dipelihara di rumah boleh menimbulkan ketakutan kepada tetamu yang datang, menyalak tidak menentu dan sebagainya yang mempunyai kemungkinan yang besar mengganggu orang lain. Sains moden juga membuktikan adanya ancaman penyakit dari haiwan berkenaan.

Namun baginda tidak pernah pun mengarahkan supaya mana-mana sahabah baginda menyamak satu rumah. Paling tinggi baginda menyebut tentang jilatan anjing:

“Apabila anjing menjilat bekas kamu, maka basuh sebanyak tujuh kali” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat lain ditambah lafaz “ke tujuhnya dengan tanah” ada pula yang menyebut kali ke lapan (Riwayat Muslim).

Ulama berbeza pendapat tentang anjing. Ada yang menyatakan, berdasarkan hadis hanya jilatan anjing sahaja yang wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan bersama tanah pada kali ke tujuh, atau ke lapan. Ada yang meluaskan sehingga sentuhan basah anjing pun wajib dilakukan demikian, walaupun hadis tidak pun menyebutnya. Ada yang berpendapat, basuhan dengan air tanah hanya pilihan. Apa pun, Nabi s.a.w tidak pula menyebut mesti menggunakan selut dan menyuruh menyamak bangunan atau rumah. Apatah lagi jika tidak nampak kesan najisnya. Namun, akal bisnes kadang-kala lebih lajak dari lajunya.

No comments

Powered by Blogger.