BN kelam-kabut gara2 kalah diKT -
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa BN kalah kerana calon, yakni Abdullah pilih calon yang salah. Calon itu bukan ‘orang’ BN tetapi ‘orang’ Abdullah.
Khairi pula berkata, “Kekalahan calon BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu semalam perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan bukan faktor calon semata-mata”. Maknanya calon pilihan Abdullah adalah betul. Kalah bukan pasal calon sahaja, banyak lagi pasal lain termasuk rasuah, jenayah dan sebagainya.
Kini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Gua Musang, Bazlan Baharuddin pula bersuara mengatakan program yang dianjurkan oleh UMNO tidak mencapai matlamat menyebabkan golongan belia yang dididik mencintai parti berpaling tadah.
Beliau berkata, kursus-kursus yang dianjurkan oleh parti itu tidak ada kesinambungan bagi membolehkan golongan terbabit mendapat pekerjaan sebaliknya terabai tanpa pembelaan.
“Inilah antara sebab UMNO kalah di mana golongan muda menjadi penentu kepada kemenangan calon parti pembangkang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bazlan berkata demikian bagi mengulas keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kelmarin yang memihak kepada calon pembangkang.
Beliau berkata, sebagai parti yang memerintah tentunya mempunyai keupayaan dan pendekatan strategik membantu golongan belia mendapatkan pekerja yang berfaedah.
“Tetapi apa yang berlaku, selepas kursus diadakan, mereka dibiarkan sendiri tanpa pembelaan dan ini menyebabkan mereka mencari peluang kepada parti lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pendekatan masa depan perlu diubah dengan memastikan golongan terbabit ada peluang untuk mendapat pekerjaan bukan lagi sebagai penganggur.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Rantau Panjang, Mohd Afandi Yusoff berkata, persidangan perwakilan UMNO pada Mac depan akan menentukan masa depan parti itu dan orang Melayu di negara ini sama ada hidup atau mati.
Katanya, kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu kelmarin mencorakkan masa depan UMNO sama ada kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu atau hilang dalam lipatan sejarah.
“Sekiranya kepimpinan sekarang tidak berubah selaras dengan kehendak pemuda, agak sukar untuk meramalkan masa depan UMNO dan bangsa Melayu di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, strategi masa depan tidak boleh lagi dengan cara yang ada masa kini tetapi perlu kepada perubahan drastik yang bukan sahaja dari segi strategi parti tetapi pendekatan dengan golongan muda.
“Kalau pemimpin yang dipilih nanti anti golongan agak sukar untuk melihat UMNO hidup dan berkembang sebagaimana di awal penubuhannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada pemimpin-pemimpin yang ada dan ahli-ahli yang berjuang untuk parti, supaya mengembalikan UMNO ke landasan asal yang boleh mencorakkan masa depan yang lebih baik.
“Kita tengok kepada pilihan raya kecil Permatang Pauh di Pulau Penang dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu cukup untuk menyatakan yang golongan muda sudah tidak mahu kepada UMNO,” katanya.
Untuk itu, beliau sarankan golongan belia yang meminati blogger dan internet didekati melalui program berkala yang boleh membawa kepada mereka minat dan tertarik mengikutinya.
“Jangan sekadar beri kursus kemudian ditinggalkan mereka tanpa pembelaan ini menyebabkan golongan terbabit ‘lari’ kepada pembangkang,” katanya. (Sabahdaily)
No comments
Post a Comment