bukan umno tapi pemimpin yang tiada "penarik"


Setelah BN tumbang lagi di Kuala Terengganu, otak pemimpin-pemimpin UMNO berkerja siang malam mencari formula bagaimana mahu menahan keruntuhan itu.

Rasanya masing-masing tahu apa jawapannya. Cuma tidak mahu mengaku atau takut nak mengaku. Dalam hal ini Tun Mahathir lebih berani berkata benar. Beliau menyatakan UMNO mesti tolak pemimpin yang rasuah.

Datuk Seri Khir Toyo dalam blognya tidak langsung menyentuh perkara itu, walaupun dia penyokong kuat Tun Mahathir. Dia cuba beri cadangan supaya UMNO ini dijenamakan semula. Dia suruh UMNO ikut macam mana Tun Abdul Razak buat bila Perikatan hilang banyak kerusi selepas Pilihanraya 1969 dulu.

Setelah Perikatan hilang banyak kerusi dalam pilihanraya Umum 1969 dan berlaku pergaduhan kaum pada 13 Mei, Kerajaan Perikatan menyedari masalah itu mesti diatasi segera dan pada tahun 1970 Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan. Perikatan telah ditukar kepada Barisan Nasional dan PAS dijemput menyertai BN bagi menguatkan kedudukan Melayu.

Tun Razak berjaya melaksanakan agendanya. UMNO kembali menjadi kuat dan diterima baik oleh orang-orang Melayu. Tetapi selepas kematiannya dan kematian Tun Hussein Onn, UMNO telah dipimpin oleh orang-orang korup dan rakus.

DEB yang dirangka oleh Tun Razak telah dijadikan oleh pemimpin UMNO sebagai tiket untuk membolot kekayaan negara bagi kepentingan diri dan kaum kerabat. Mereka menyapu semua projek-projek besar kerajaan atas nama Melayu dan kemudian memberikannya kepada syarikat-syarikat bukan bumiputera melaksanakannya.

Akhirnya setelah lebih 30 tahun DEB dilaksanakan, yang kaya ialah pemimpin-pemimpin UMNO dan kaum kerabatnya. Orang Melayu masih tetap kebelakang dari bangsa-bangsa lain, malahan sasaran 30% penguasaan bumiputera dalam bidang ekonomi, yang dirangka oleh Tun Razak itu pun, sampai sekarang masih belum lagi tercapai.

Kalau Datuk Seri Najib benar-benar mahu membela nasib anak bangsa, cuba berlaku jujur kepada diri sendiri. Tanya diri itu, berapa banyakkah Tun Razak meninggalkan harta kepada Datuk dan adik-adik Datuk semasa dia meninggal.

Dan kemudian tanya pula pada diri Datuk, berapa banyakkah yang telah Datuk persiapkan untuk diwariskan kepada anak-anak dan isteri. Berpadankah apa yang Datuk miliki sekarang ini dengan gaji yang Datuk terima selama berkhidmat dengan kerajaan selama ini.

Begitu juga dengan Datuk Khir Toyo. Cuba tanya kepada diri Datuk sendiri. Sebelum jadi Menteri Besar dulu, berapakah wang yang ada dalam simpanan Datuk. Bila sudah bersara ini berapakah pula jumlahnya. Berpadankah apa yang Datuk miliki sekarang, dengan gaji yang Datuk diterima dalam tempuh menjadi Menteri Besar dulu.

Jawab secara jujur.

Lepas itu baru Datuk tahu jawapan sebenar, kenapa rakyat menolak UMNO dan BN sekarang ini.

No comments

Powered by Blogger.