Selepas tak boleh terima kekalahan, UMNO mula buat fitnah


Nafi kosong DUN Wakaf Mempelam
Oleh Hadzlan Hassan, Siti Fatimah Hassan dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru, Mohd Abdul Wahid Endut menafikan pernah berjanji akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang diwakilinya sejak 1990 jika menang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, beliau tidak pernah membuat janji seperti itu dan percaya berita itu disebarkan pihak tertentu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) konon akan berlaku satu lagi pilihan raya kecil dalam kawasan Kuala Terengganu iaitu DUN yang diwakilinya selepas terpilih sebagai Ahli Parlimen.

“Sebenarnya saya turut menerima SMS itu hari ini (semalam) yang dikirimkan daripada nombor tidak dikenali.

“Kenapa saya perlu kosongkan kerusi DUN Wakaf Mempelam sedangkan saya dipilih rakyat untuk mewakili mereka di kawasan itu.

“SMS itu disebarkan kumpulan tertentu yang mendakwa saya akan memberi laluan kepada wakil Pas lain sesudah menang kerusi Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, petang semalam.

Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi apabila memperoleh 32,883 undi mengalahkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang memperoleh 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam memperoleh 193 undi, hilang wang pertaruhan.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Mustafa Wan Hassan di pusat penjumlahan undi di Stadium Negeri, di sini, jam 9.25 malam kelmarin.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 November tahun lalu.

Wakaf Mempelam ialah satu daripada empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu selain Batu Burok dan Ladang yang dikuasai Pas manakala Bandar dikuasai BN.

Mengulas perancangannya sesudah memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid berkata, keutamaannya sebagai wakil rakyat ialah membawa permasalahan rakyat di Parlimen dan menegur dasar kerajaan yang tidak bermanfaat kepada rakyat, di samping meneruskan tugasnya sebagai Adun Wakaf Mempelam.

Menurutnya, beliau akan meneruskan tiga tugasnya iaitu wakil rakyat di DUN, Ahli Parlimen dan tugas parti.

“Kita akan membantu dan menegur pemerintah bagi memastikan dasar yang dibuat di semua peringkat menguntungkan rakyat,” katanya.

Katanya, tugas diamanahkan tidak akan dilaksanakan secara bermusim, sebaliknya sentiasa terbuka dan bersedia menemui rakyat bila-bila masa selain mengambil pegawai daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India bagi memastikan masalah golongan itu dapat diselesaikan.

No comments

Powered by Blogger.