Nizar telah melakukan yang terbaik buat PAS, rakyat dan negeri Perak - malaysiakini
Dua malam saya menziarahi kediaman rasmi Menteri Besar Perak, hati saya cukup tersentuh dengan perwatakan penuh kesederhanaan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Hati kecil saya berbisik, inilah pemimpin masa depan yang amat kita tunggu-tunggu.
Sayang, dengan pengalaman hanya selama 11 bulan menerajui kerajaan negeri Perak, Nizar diuji Allah dengan bebanan yang cukup berat, yang mungkin tidak tertanggung oleh individu lain dalam PAS.
Namun, apabila mendengar ucapannya, Nizar masih tetap bersemangat waja, bijak menyusun ayat, mencari istilah dan membangkitkan aura. Saya agak terkilan tidak sempat mengikuti dari dekat bagaimana Nizar mengemudi bahtera kerajaan Perak selama 11 bulan itu. Saya amat yakin, sejauh ini, beliau telah melakukan yang terbaik untuk PAS, rakyat dan negeri Perak.
Bukan sedikit tohmahan yang dihadapkan kepadanya selama memerintah, tetapi beliau tetap gagah berdiri bukan untuk membalas balik serangan kepadanya namun membuktikan dengan amalan praktis.
Sesungguhnya tidak mudah untuk menerajui Perak dengan segala kerencamannya itu. Malah cukup sukar sekali buatnya yang agak baru dalam politik untuk berdepan segala mehnah dan cabaran, bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bagi memenuhi janji manifesto dan membumikan segala tawaran yang tentunya jauh lebih baik berbanding pemerintahan Umno-BN selama 50 tahun itu.
Saya percaya dugaannya pasti lebih hebat sekarang. Bagaimanapun saya tidak pasti bagaimana kehidupan seharian Nizar kini. Apakah beliau terus mendapat sokongan padu atau ada yang perlahan-lahan meminggirkan diri, termasuk rakan dan taulan? Saya tidak mahu membayangkan hal-hal negatif tentang suasana yang dihadapinya sebab saya yakin Nizar mampu meredah segala belantara kepayahan dan kesukaran ini.
Dari wajahnya terpapar satu semangat luar biasa. Saya juga yakin hubungannya dengan Allah makin dekat dan dekat. Dari jauh saya hanya mampu berdoa agar Nizar dapat menangani tribulasi berat yang bukan sahaja menimpa dirinya tetapi juga jamaah PAS itu sendiri
No comments
Post a Comment