Ada Macam Tiada

"Kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," begitu kata Datuk A Samad Said.

Bayangkan negara tanpa 'sasterawan negara'. Entah bagaimanalah rasanya.

Profesor Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pula mengatakan "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya. Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya. Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku? Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Dalam penyataan media 5 Sasterawan Negara kelmarin disebutkan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan. Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

Hal di atas mungkin tidak begitu terpandang; tidak ramai yang menyedari ini dapat berlaku. Tetapi rekahan dan jurang sudah mulai terasa.

Benar, benar tragedi sungguh. Kalau yang membuat noda itu pengarah filem atau pelakon yang sanggup mencemar budaya, kita mungkin tidak rasa terkilan sangat. Pelik apa? Tetapi kalau tiada lagi negara ini sasterawan, kerana bahasa medium sasteranya tidak lagi dihormati; maka tidak ada yang lebih tragedi untuk sebuah bangsa apabila membenarkan politikus merakusi bahasanya.

Kerana bahasa itu inti tamadun.


faisal tehrani

No comments

Powered by Blogger.