Kempen Sejuta Poskad Untuk Menteri Pelajaran


KUALA LUMPUR: Kalangan sasterawan dan budayawan mahu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mengemukakan pandangan mereka mengenai penolakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, berkata kelompok sasterawan negara berharap pertemuan yang akan diadakan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kelak tidak sekadar hiasan seperti sebelum ini.

"Sasterawan dan budayawan sudah banyak kali menghulurkan tangan untuk berbincang dengan kerajaan mengenai PPSMI, tetapi tiada jalan penyelesaian kerana dasar terbabit masih diteruskan sehingga kini," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh; Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP); Datuk Dr Hassan Ahmad; Presiden Pena, Datuk Baharudin Zainal atau Baha Zain dan Setiausaha Agungnya, Syed Mohd Zakir Syed Othman.

Semalam, Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan PPSMI berikutan tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, Kabinet berpendapat laporan daripada persidangan terbabit bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan, sebaliknya memerlukan maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut.

Beliau turut mengalu-alukan pihak yang hendak mengemukakan pandangan, menyerahkan memorandum atau mengadakan pertemuan yang mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia.

Sementara itu, Sasterawan Negara Muhammad berkata, ruang perbincangan masih terbuka dan mengharapkan Menteri Pelajaran dan Timbalan Menterinya yang baru dapat memikirkan pendirian mereka kembali dalam isu PPSMI.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha GMP, Hasni Abas, berkata pihaknya akan melancarkan kempen Sejuta Poskad Untuk Menteri Pelajaran di Pagoh, Johor, pada 15 Mei ini, dengan mengedarkannya kepada orang ramai untuk dihantar kepada menteri terbabit.

Sumber
di sini.

No comments

Powered by Blogger.