BERADAB LA DALAM MENEGUR..SAMA ADA PEMIMPIN PAS ATAU AHLI KERJA PAS.

Sumbangan: Che Ismail bin Che Yaacob

“Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?”

Demikian antara ungkapan Nik Abduh dalam blog selepas isu “pembantu-pembantu Nik Aziz” dibicarakan umum, malah mempertikaikan tindakannya yang seolah menjentik sarang tebuan.

Tulisannya menjawab persoalan yang timbul menyerlahkan ketegasannya tidak berganjak dari apa yang diperkatakan sebelum ini, malah beliau anggap “geng-geng jahanam” di sebalik selimut itu memang wujud dan tidak boleh dinafikan bala yang bakal ditabur oleh geng berkenaan.

Di satu pihak lain, tembakan membabi buta seperti itu jelas sekali mencederakan juga para pembantu ayahandanya yang alim, setia dan “jurus”. Memang betul, tidak bersalah apa hendak takut, namun hati tetap pedih diperlakukan sedemikian secara terbuka dan meluas.

Sudah pasti tercalar rasa hormat mereka selama ini terhadap anak bos mereka, tapi yang agak penting pula ialah mereka dapat merasakan rasa hormat Nik Abduh terhadap mereka sebenarnya tidak seberapa.

Tidak mustahil, gelagat beliau telah turut membangkitkan rasa jauh hati segelintir orang Pas yang hampir diserang sakit jantung. Bayangkan kalau Tok Guru Nik Aziz tiba-tiba berkata ramai pihak di MPKB membodek Nik Abduh hanya kerana dia anak Nik Aziz.

Terkejut bukan? Demikianlah serangan jantung yang dicipta Nik Abduh menerusi cerita para pembantu ayahandanya.

Saya percaya puak BN tersenyum sehingga tidak mampu mengawal air liur meleleh, mereka mula jadikan bicara Nik Abduh sebagai senjata baru untuk mencipta lebih ramai musuh dalam selimut Pas.

Apa rahmat di sebalik kekecohan Nik Abduh ini? Ia membuktikan, malah menyedarkan para ulama di kalangan Pas bahawa semua manusia ada ketika melakukan sesuatu hal di luar kawalan minda kebijaksanaan, di luar kawalan keimanan sesetengah insan yang membesarkan diri atas nama seorang ulama.

Nik Abduh menampakkan lagi nilai murninya dengan memberitahu seluruh khalayak politik seraya menggambarkan diri sebagai pejuang tulen yang tidak gilakan kuasa. Katanya- “Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya”.

Sayangnya, ketulusan beliau akhirnya ditafsirkan sebagai bermegah-megah dengan peluang untuk duduk sama rendah bersama pemimpin di sekeliling Nik Aziz. Sayangnya, pendedahan tersebut telah mewujudkan kehakisan kepercayaan orang Pas terhadap Tok Guru, apa tidaknya, rupa-rupanya Nik Aziz juga ada norma kekronian. Nik Abduh, anda menjejaskan imej baik ayahanda.

Nik Abduh kena belajar mengawal diri walau memperkatakan perkara yang sahih (tapi beliau tidak berani kemukakan senarai nama dan bukti), beliau tidak boleh anggap dirinya seperti Nik Aziz yang bercakap bermacam perkara sensitif tanpa gusarkan hentaman balas.

Nik Abduh masih jauh tarafnya, jangan lupa ramai tunduk hormat kepada anda hanya atas satu sebab, bukan kerana kealimanmu atau kebijaksanaan politik mu, tetapi tidak lain tidak bukan, kerana anda anak Nik Aziz.

Percayalah, orang yang melalut membuat tuduhan menikam belakang pembantu-pembantu Nik Aziz sudah pasti dibedil dengan meriam oleh kalangan pemimpin Pas, sudah lama dipancung pemikirannya. Tapi anda selamat, hanya kerana anda anak kepada Nik Aziz yang dihormati di luar dan dalam Pas.

Keberanian anda bukan sahaja mengajak para “pembantu” yang tidak bersalah menjadi lawan, anda juga telah membentuk satu kebencian baru di kalangan orang Pas yang memandang “rendah” terhadap keberkesanan Nik Aziz mendidik anaknya menjadi pintar agama dan pintar psikologi.

(NOTA:Kandungan artikel ini merupakan pandangan penulis, bukan pendirian blog ini.)

No comments

Powered by Blogger.