Demo bantah kabinet isu agama anak

Pemuda PAS akan menganjurkan perhimpunan membantah keputusan kabinet berhubung status agama anak selepas solat Jumaat hari ini.

Keputusan jemaah menteri minggu lepas turut dibantah oleh beberapa NGO Islam, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Keputusan terbaru kabinet itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.

Perhimpunan anjuran bersama Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam dewan itu dan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan diadakan di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Dalam satu kenyataan bersempena perhimpunan tersebut, ketua Pemuda PAS negeri tersebut Kamaruzaman Mohamad menggesa kabinet menarik balik keputusan itu yang dianggapnya "paling biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, mufti, Parlimen dan juga sistem kehakiman negara."

"Sesungguhnya kabinet sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut eksekutif bukannya legistatif dan kehakiman.

"Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama," katanya.

No comments

Powered by Blogger.