Hadi kekal Presiden Pas tanpa bertanding

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding, manakala timbalannya, Nasharuddin Mat Isa bakal menghadapi pertandingan tiga penjuru pada pemilihan parti itu, bulan depan.

Selepas pencalonan bagi jawatan tertinggi parti ditutup semalam, bekas Menteri Besar Terengganu itu mendapat hampir 170 pencalonan kawasan, kecuali dari Bukit Bintang, yang mencalonkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi jawatan berkenaan.

Menurut sumber, Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

“Namun, antara nama yang paling hangat diperkatakan untuk mencabar jawatan itu adalah Husam dan Mohamad. Di Kelantan, Husam mendapat pencalonan hampir semua kawasan manakala Nasharuddin hanya dicalonkan Pas Bachok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagi jawatan naib presiden, katanya, pencalonan untuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub agak seimbang.

Sementara itu, Mahfuz yang ditemui mengesahkan pencalonan bagi jawatan tertinggi parti itu sudah berakhir dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Mustafa Ali akan mengumumkan nama calon dalam masa terdekat.

Katanya, Pas pusat sudah menerima pencalonan daripada kesemua kawasan dan mereka yang dicalonkan bagi jawatan terbabit diberi tempoh sehingga 25 Mei ini untuk membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak.

“Kita sudah menerima pencalonan bagi jawatan tertinggi parti, kini dalam proses menghantar surat kepada mereka yang dicalonkan bagi memaklumkan jumlah pencalonan serta mendapat maklum balas.

“Mana-mana calon yang tidak menjawab surat terbabit dalam tempoh ditetapkan, kita menganggap mereka menarik diri,” katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa Pas pusat di sini, semalam.

No comments

Powered by Blogger.