Kepimpinan Ulamak: Semua Pemimpin dan ahli kena memahami konsep sebenar dalam Perlembagaan PAS

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini membidas sesetengah pemimpin ulama yang tidak memahami konsep sebenar kepimpinan ulama bagi mewujudkan barisan kepimpinan yang mantap.

Kepimpinan ulama yang sebenarnya ialah kombinasi antara kalangan ulama dengan profesional bagi memantapkan masa depan parti, katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamad Daud yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS diberi kepada golongan ulama bagi memastikan kesinambungan masa depan parti.

Beliau berpendapat saranan Mohamad itu tidak berbangkit kerana kombinasi antara dua golongan itu penting jika PAS mahu terus diterima oleh semua peringkat pengikut sepanjang masa.

Sehubungan itu beliau mahu pemimpin terbabit diberi pendedahan mengenai konsep itu seperti yang diputuskan oleh Dewan Pemuda PAS pada muktamar agung parti 20 tahun lalu, di Bukit Mertajam.

“Saya bimbang jika konsep kepimpinan ulama ini tidak difahami, sesetengah ahli PAS mahu PAS hanya dimonopoli oleh golongan ulama,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam Mohamad dilaporkan berkata, kepimpinan tertinggi PAS perlu diterajui golongan ulama.

“Orang nombor satu (presiden) dan nombor dua (timbalan presiden) mesti ulama.

“Sebab kalau orang nombor satu ada tugasan lain, seperti cuti, sakit dan sebagainya, tugasnya mesti diambil oleh orang nombor dua,” kata Mohamad. - mstar

Tonggak Kepimpinan Ulamak adalah Majlis Syura Ulamak, bukannya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Sepatutnya semua kena faham samada pemimpin atau ahli PAS kena baca semula Perlembagaan PAS (Pindaan 2002) yang memperuntukan ciri-ciri kepimpinan Ulamak. Peranan dan ciri Majlis Syura Ulamak telah dimaktubkan dalam Fasal 7 Perlembagaan PAS iaitu mengenai Hukum, Kekuasaan dan Majlis Syura Ulamak.

Adapun ciri-ciri yang perlu ada pada Presiden dan Timbalan Presiden (Fasal 22 Jawatankuasa Kerja PAS Pusat) tidak disebutkan, hanya menyebutkan tugas dan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam Fasal 23 (Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat), bererti jawatan tersebut terbuka kepada semua ahli PAS yang difikirkan layak oleh Muktamar PAS yang ada pemilihan.

Baca juga artikel disini.

Di bawah ini, saya perturunkan sedikit disini petikan Fasal 7 (4), Fasal 16 (2)Perlembagaan PAS.

Fasal 7 ceraian 4 Perlembagaan PAS (Pindaan 2002):

4. Ahli-Ahli Majlis Syura Ulamak hendaklah terdiri daripada lima belas orang dan tertakluk kepada peruntukan berikut:
(a) Seseorang yang hendak dilantik menjadi ahli Majlis Sura Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

Jelas diatas, Fasal inilah yang merupakan teras kepimpinan Ulamak. Ahli Majlis Syura mesti dikalangan Ulamak.

Satu lagi perbezaan yang jelas antara Ahli Majlis Syura Ulamak dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah Ahli-Ahli Majlis Syura tidak dipilih Muktamar Tahunan PAS.

Manakala Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diketuai Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli lain TIDAK dicirikan sedemikian rupa tetapi dipilih oleh perwakilan mengikut Fasal 16 (2) Muktamar Tahunan yang ada pemilihan setiap dua tahun sekali.

Fasal 16 Muktamar PAS
(2). Muktamar Tahunan dan/atau Khas PAS itu adalah mengandungi ahli-ahli yang berikut:
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya,
(b) Ahli-Ahli Majlis Syura Ulamak dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
(c) Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan,
(d) Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan, dan jika sekiranya ia tidak dapat hadir sendiri maka hendaklah seorang ahli jawatankuasa Kerja Kawasan itu diwakili dengan bersurat oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu,
(e) Tidak kurang dari empat orang dan tidak lebih dari sepuluh orang wakil daripada dan diangkat oleh tiap-tiap sebuah kawasan yang telah menunaikan yuran tahunannya bagi tahun itu ke Pejabat Agung dengan tertakluk kepada Fasal 17 (5).
(f) Lima belas orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat,
(g) Lima belas orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusatm dan
(h) Lima belas orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat.

Fasal 22 Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
(2) Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar Tahunan PAS pada tiap-tiap dua tahun daripada ahli-ahli PAS atau dengan apa-apa cara jua yang dipersetujui oleh Muktamar Tahunan PAS itu.

Saya juga tertarik dengan tulisan bertajuk “Kepimpinan Ulama dalam Pas: Satu kajian semula” ditulis Mohamad Hasan Marzuki, antaranya:

PAS telah memperkenalkan dasar kepimpinan Ulama sejak tahun 80an ketika Almarhum Pak Yusuf Rawa menjadi Presiden. Dasar tersebut telah mewujudkan sebuah institusi yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulama di samping memperkasakan Dewan Ulama Pas. Timbul tanggapan hari ini bahawa jawatan Timbalan Presiden haruslah dipegang oleh mereka yang mempunyai title ulama atau ustaz.

Adakah kepimpinan ulama itu bermaksud Presiden dan Timbalan Presiden itu mestilah ulama ataupun kepimpinan Pas merujuk kepada ulama atau syarak?

Penulis tetap mempertahankan bahawa kerusi Timbalan Presiden hendaklah diisi oleh seorang pejuang telah diuji dalam perjuangan menegakkan yang maaruf dan menentang kemungkaran dengan syarat kepimpinannya hendaklah sentiasa bernaung di bawah Majlis Syura Ulama. Ulama itu tidak semestinya seorang pemimpin tetapi pemimpin itu mestilah sentiasa merujuk kepada Ulama. Penulis ada alasan dan hujah. Baca tulisannya disini.

1 comment

Yong said...

Camne nak jadi ulama? Kena ade ijazah? Boleh hafaz Quran? Pandai jadi imam? Rajin bersedekah? Kena warak? Adil? Arif? Baik hati? Pokoknya, bukanke gelaran ulama tu bersyarat? Dan salah satu syarat yang jarang disebut ialah keberanian. Takkan ulama takut ditentang dalam pemilihan pucuk pimpinan kot.

Powered by Blogger.