Nik Abduh sedia tanding Ketua Pemuda

KOTA BHARU 7 Mei - Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Pas negeri pada muktamar yang akan berlangsung di sini Sabtu ini.

Beliau merasakan berhak ke atas jawatan tersebut kerana secara tradisi, jawatan itu akan disandang oleh timbalannya selepas penyandang mencapai had umur.

"Saya hendak bagi tahu saya bersedia menerima pencalonan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas negeri. Saya yakin boleh memimpin dengan lebih baik.

"Saya tidak tahu sama ada akan dicabar atau tidak tetapi sebelum ini saya mendengar desas-desus Naib Ketua, Abdul Latiff Ab. Rahman mahu bertanding jawatan itu," katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Difahamkan pada muktamar Dewan Pemuda Pas Kelantan dua tahun lepas, Nik Abduh turut dicalonkan untuk jawatan ketua yang ketika itu disandang oleh Mohd. Nasurruddin Daud.

Bagaimanapun hasil perbincangan di luar, beliau memberikan laluan kepada Zaki Ibrahim yang ketika itu menyandang jawatan timbalan kerana merasakan Zaki lebih berhak.

Pada masa tersebut juga anak kepada Mursyidul Am Pas itu menyandang jawatan naib ketua.

Nik Abduh berkata, moto yang dipegangnya untuk pemilihan kali ini adalah perpaduan dan tarbiyah dan ia juga demi masa depan Dewan Pemuda Pas Kelantan.

"Saya ada jentera, prinsip saya untuk masa akan datang ialah perpaduan dan tarbiyah. Itu cita-cita saya," katanya.

Beliau bimbang dengan kemelut yang melanda Pas sekarang, seolah-olah parti itu mula meniru acuan orang lain sehingga wujud perebutan kuasa dan jawatan.

"Sebab itulah saya mencanangkan perpaduan di kalangan Pemuda. Saya yakin boleh dan mampu menyatukan saf pemuda negeri Kelantan dan juga menghidupkan kembali tarbiyah suasana pemimpin pelapis di kalangan Pemuda negeri," katanya.

Ditanya tanggapan sesetengah pihak yang tidak menyenangi pendiriannya berhubung beberapa isu dan telah menyamakannya dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau katanya, ia persepsi sahaja.

"Itu persepsi tetapi semua orang akan melihat kerja saya. Hak melihat kerja saya, Allah, Rasul dan orang mukmin. Hak mana fitnah pada saya, saya tidak mahu jawab ikut surat khabar, biar kawan-kawan tolong jawabkan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.