Ulama tidak diperkecil - Salahuddin

KUALA LUMPUR 7 Mei - Tidak ada sesiapa di dalam Pas yang memperkecilkan peranan penting golongan ulama sebagai peneraju parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub berkata, isu tersebut sengaja dibangkitkan oleh pihak luar yang tidak senang dengan pencapaian cemerlang Pas sejak kebelakangan ini.

''Tidak ada sesiapa yang memperkecilkan peranan ulama yang memainkan peranan besar kepada parti selama ini dan bagi saya, perkara ini sengaja disensasikan terutamanya menjelang pemilihan parti tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengingatkan pihak tertentu dalam Pas supaya tidak memperlekehkan keupayaan golongan ulama untuk meneraju parti itu dalam mengharungi cabaran politik semasa negara.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, kepimpinan golongan ulama telah membuktikan mereka mampu membangun dan memperkuatkan parti berkenaan seperti mengekalkan penguasaan di Kelantan dan menawan negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Salahuddin, pada pemilihan sebelum ini, senario yang lebih kurang sama turut diperkatakan apabila isu mengenai golongan konservatif dan progresif dibangkitkan.

''Kalau pemilihan sebelum ini, isu konservatif dan progresif dimainkan dan kali ini mengenai ulama pula, bagi saya ini semua datang apabila menjelang pemilihan parti," tegasnya.

Ditanya mengenai tanggapan rakyat berhubung perkara tersebut, beliau menjelaskan, negara ini mencapai kemerdekaan selama 52 tahun dan rakyat menyedari isu yang dibangkitkan itu hanya untuk disensasikan bagi menjadi bahan perbualan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

''Saya enggan komen mengenai perkara ini, sebagai Setiausaha Agung parti, saya tak mahu masuk campur," katanya.

No comments

Powered by Blogger.