Nik Aziz nafi dipengaruhi pembantu

KOTA BHARU 7 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan anggapan anaknya, Nik Abduh yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan bahawa beliau telah dipengaruhi oleh pembantu-pembantunya dalam membuat keputusan politik.

Nik Aziz berkata, sebelum membuat sebarang keputusan, beliau akan mendengar pandangan daripada semua pihak dan dianalisis berdasarkan pengalaman dan pengamatannya terhadap sesuatu persoalan.

Bagaimanapun beliau tidak akan menegah anaknya itu daripada terus menulis persoalan politik dalam parti kerana menyifatkan Nik Abduh sudah cukup matang serta berpendidikan tinggi.

"Saya cuma tegur dia satu perkara sahaja tetapi saya tidak boleh nyatakan di sini, tanyalah dia sendiri. Dia ada ilmu, belajar di luar negeri dan terlibat dengan politik jadi Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri.

"Terpulang pada dialah hendak menulis atau tidak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tulisan Nik Abduh dalam blognya Kerja-Kerja Bodoh Dalam Pas I dan II ketika Nik Abdul Aziz mengerjakan umrah.

Dalam tulisan tersebut Nik Abduh mengkritik pembantu-pembantu bapanya yang telah memberikan gambaran salah mengenai situasi semasa.

Beliau juga menyifatkan pembantu-pembantu politik bapanya telah sesat kerana menjadi pejuang nafsu.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas kerana beliau telah menjalankan tugas dengan baik.

"Usahkan saya, Nabi Muhammad pun kena tuduh, pelik apanya. Tidak ada (dipengaruhi), saya tengok semua fikiran sokong dan negatif dan saya pandu dengan pengalaman sebelum membuat keputusan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.