Nizar pengerusi mesyuarat Exco 11 malam, 7 jam susulan keputusan mahkamah

PETALING JAYA: Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang disahkan sebagai Menteri Besar selepas 96 hari 'berehat' akan mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya pada pukul 11 malam ini.

Ia disahkan oleh Datuk Ngeh Khoo Ham yang merupakan Exco Kanan dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga awal Februari lalu.

"Kami akan adakan mesyuarat Exco pukul 11 malam dan selepas itu kami akan adakan sidang media," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mesyuarat itu turut disahkan oleh seorang lagi ADUN Pakatan, N. Sivanesan yang juga Exco sehingga Februari lalu.

Ngeh yang Pengerusi DAP Perak berkata, esok pihaknya akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Raja Muda Raja Nazrin.

"Esok, pagi kami cuma nak memohon untuk menghadap Tuanku bukan menghadap...media telah petik petang tadi," katanya.

Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah - antara Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik sejak Februari lalu akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Nizar juga tidak pernah meletakkan jawatan.

No comments

Powered by Blogger.