Semua Pihak Perlu Akur Keputusan Mahkamah - Hishammuddin

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua pihak perlu akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Tiada siapa, katanya harus meletakkan diri mengatasi undang-undang negara, dan keputusan itu perlu dipatuhi semua pihak.

"Keputusan mahkamah adalah keputusan, kadang kala kami menang kadang kala kami kalah, tetapi sebagai sebahagian daripada pemupukan demokrasi terhadap apa yang telah kita lalui. Banyak perkara bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas ini," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada pemberita selepas majlis taklimat di Jabatan Pendaftaran Negara di sini Isnin.

Hishammuddin berkata beliau berharap orang ramai tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman, keamanan dan keselamatan rakyat di Perak dalam masa terdekat.

Beliau berkata kawalan keselamatan di negeri itu akan turut ditingkatkan jika perlu.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua-ketua Umno Bahagian dan wakil-wakil rakyat dari negeri itu, dalam usaha menyelesaikan krisis politik Umno di Terengganu.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, berkata perjumpaan itu adalah susulan pertemuannya dengan Ahmad hari ini.

"Harapan saya dengan perjumpaan kedua-dua belah pihak ini, ia akan membantu kita perkukuhkan parti di Terengganu dan merapatkan barisan kita," katanya.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.