pas dipermainkan oleh pihak lawan!

Laporan didakwa melaga-lagakan pemimpin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, mendakwa media arus perdana mempunyai agenda apabila sengaja melaga-lagakan pemimpin parti itu menjelang Muktamar Tahunan awal bulan depan.

Beliau berkata, kesilapan ahli dan pemimpin parti menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh memecah-belahkan pemimpin parti itu.

"Suka nasihatkan pimpinan dan ahli Pas menjaga etika sepanjang pemilihan supaya tidak memenuhi agenda media.

"Pas tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang kita boleh silap dalam bertindak dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-Barisan Nasional (BN)," katanya dalam laman blognya www.husammusa.com.

Husam percaya tradisi dan nilai mulia dalam Pas masih kekal dan sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam isu pemilihan parti, tetapi ada pihak tertentu cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam Pas.

Beliau berkata, pihak dalam Pas yang beranggapan ada perkara yang menyalahi disiplin parti perlu memaklumkan kepada parti, manakala pimpinan tertinggi tidak seharusnya berdiam diri supaya tiada pihak mengambil kesempatan merosakkan imej Pas.

Ahli Majlis Syura Pas, Datuk Harun Taib pula menggesa amalan memilih golongan ulama menjawat jawatan nombor satu dan dua parti itu diteruskan kerana ia terbukti mampu membawa parti ke tahap cemerlang.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas itu berkata, kedudukan parti akan lebih mantap apabila gabungan Presiden-Timbalan Presiden di kalangan ulama dan tiga Naib Presiden di kalangan profesional dan ulama terus menjadi dasar dan prinsip pemilihan pemimpin.

Bagaimanapun, katanya, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang memiliki kedua-dua kriteria ulama dan profesional akan menyaksikan parti lebih menyerlah, sekali gus meningkatkan imej parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan.

"Asas dan rahsia kekuatan Pas adalah gabungan mantap antara ulama dan profesional yang diamalkan sejak dulu hingga kini walaupun ia tidak termaktub dalam perlembagaan parti," katanya.

No comments

Powered by Blogger.