Pas: Husam 'puasa', Enggan Komen Soal Parti

JELI, 4 Mei (Bernama) -- Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang sebelum ini 'membayangkan' akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan pada Muktamar parti Jun ini, enggan lagi menyentuh soal parti bagi mengelak timbul salah faham di kalangan anggota parti itu.

Beliau juga enggan mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan hanya golongan ulama profesional yang layak memegang jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

"Saya sekarang 'berpuasa' daripada bercakap soal parti. Lagi banyak ia dibincangkan dalam akhbar lagi menimbulkan keresahan kepada anggota parti.

"Tumpuan utama saya adalah soal perpaduan parti supaya imej PAS tidak terjejas menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. Beliau sebelum itu melawat mangsa kebakaran melibatkan 13 rumah di Blok Tanah Merah, Kampung Ayer Lanas, di sini Jumaat lalu.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika ditemui pemberita di kediamannya pagi tadi berkata mereka yang ingin menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS perlu bermuhasabah diri sama ada mereka benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan parti.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan parti Jun ini yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.

Beberapa nama termasuk Husam dan seorang lagi Naib Presiden parti, Mohammad Sabu selain Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali disebut-sebut akan mencabar jawatan nombor dua parti itu walaupun penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang 'hubungan sulit' PAS-Umno.

Kenyataan Nik Aziz itu senada dengan ketetapan Dewan Ulama PAS yang mahu dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Ketetapan yang dibuat oleh Dewan Ulama PAS itu bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Datuk Mohamed Daud Iraqi meminta ahli-ahli parti mengutamakan kepimpinan ulama kerana dua pemimpin tertinggi itu berperanan memberikan nasihat dan memastikan hala tuju parti bertepatan dengan ajaran Islam.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.