Persoalan Kepimpinan Ulama’

Baru baru ini telah kedengaran pandangan yang menyatakan bahawa kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan Ulama’. Pandangan ini dikemukakan atas kekhuatiran bahawa sekiranya sebaliknya, maka PAS akan tersasar dari dasar perjuangannya sepertimana telah berlaku terhadap ummat Islam dahulu dengan naiknya Muawwiyyah sebagai Khalifah.

Sebenarnya kekhuatiran ini tidak lagi perlu dilayani oleh mana-mana pihak. Ini adalah kerana peranan ulama’ dan kepimpinannya telahpun diinstitusikan di dalam PAS melalui pembentukan Majlis Syura Ulama’ pada tahun akhir 80an. Satu pindaan perlembagaan telah dilakukan dan melaluinya tertubuh Majlis Syura Ulama’ yang berperanan memantau perjalanan parti pada setiap masa. Melalui pindaan ini, maka peranan ‘Eksekutif’ atau perlaksana dan kuasa ‘Legislatif’ atau pengubal dasar dipisahkan. Ini akan menyebabkan pihak Eksekutif, iaitu Presiden dan saf kepimpinan Pusat, tidak bebas sepenuhnya menentukan apa-apa dasar atau pendirian tanpa mengambil kira pandangan ulama’.

Sebagai salah seorang AJK Pemuda Pusat yang telah memperjuangkan konsep ‘Qiadatul Ulama’ pada masa itu bersama-sama AJK PAS Pusat yang terlibat membincang dan meluluskan pindaan Perlembagaan berhubung penubuhan Majlis Syura Ulama’, saya kecewa dengan kurangnya pemahaman ahli dan juga pimpinan berhubung persoalan ini.

Dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama’ maka kedua-dua jawatan tersebut terbuka kepada mana-mana pimpinan PAS, samada Ulama’ atau Profesional, untuk menyandangnya tanpa kekhuatiran tersebut. Pilihan perlu dibuat berdasarkan kemampuan seseorang itu memainkan peranan dan menunaikan tanggung-jawab melaksana dasar dan strategi PAS dalam mengharungi suasana politik semasa sehingga PAS boleh mempertingkatkan pengaruhnya di dalam masyarakat.

Dengan memberikan pilihan kepada perwakilan dalam soal ini, maka PAS akan dapat memilih orang yang paling mampu melaksanakan dasar dan strateginya. Ini adalah kerana pilihan tidak terhad kepada golongan Ulama’ semata-mata dan sebaliknya boleh juga dipilih dari golongan Profesional. Persoalannya memilih orang yang paling mampu memainkan peranan yang khusus dan bukanlah latar belakang pendidikannya. Lebih-lebih lagi dengan adanya Majlis Syura Ulama’, maka Presiden dan Timbalan Presiden serta seluruh Parti akan dipantau dan dibantu.

Pada masa yang sama, konsep serta cogan-kata gabungan ‘Ulama’ dan Profesional’ yang dilaungkan ketika itu juga dapat dihayati. Sekiranya konsep kepimpinan Ulama’ bererti hanya Ulama’ sahaja yang perlu diberikan jawatan dan tugas kepimpinan, maka apa maknanya cogan kata ini? Sedangkan cogan kata ini dilaungkan pada masa yang sama. Begitu juga, mengapa syarat bahawa kedua-dua jawatan ini mesti diisi oleh Ulama’ tidak turut dimasukkan semasa Perlembagaan dipinda pada masa tersebut? Ini merupakan bukti nyata bahawa konsep Kepimpinan Ulama’ tidak dimaksudkan begitu.

Sebenarnya saya masih ingat semasa membincangkan persoalan ‘Qiyadattul Ulama’ bersama pimpinan Pusat pada ketika itu (boleh periksa dengan saf pimpinan pada ketika itu). Istilah ‘Ulama’ itu sendiri dibincangkan dan ada dikalangan Ulama’ sendiri yang telah mencadangkan supaya golongan profesional yang memahami dan menghayati Islam juga diiktiraf sebagai ‘ilmuan Islam’ ataupun Ulama’. Ini memandangkan hakikat bagaimana bidang ilmu, hasil dari pengalaman penjajahan, telah dipisahkan kepada ‘ilmu dunia’ dan ‘ilmu ugama’. Sedangkan Islam mengiktiraf pentingnya kedua-dua cabang ilmu dan ulama’ zaman dahulu mahir dalam kedua-dua bidang. Kemahiran dalam bidang ilmu dunia, misalnya Ibn Khaldun dalam bidang kemasyarakatan, juga menyebabkan beliau diiktiraf sebagai Ulama’. Begitu juga Ibn Sina, Khawarizmi dan Ibn Naafis dalam bidang masing-masing.

Walaubagaimanapun, cadangan tafsiran ini telah ditolak oleh beberapa orang ‘profesional’, termasuk diri saya sendiri atas sebab kemungkinan kekeliruan yang bakal menimpa sekiranya tafsiran seperti ini digunakan. “Orang-orang seperti Dr. Mahathir juga akan mendakwa dirinya Ulama’ dan menyesatkan ummat Islam dengan konsep Islamnya”, ujar saya. Akhirnya, untuk menentukan kekeliruan ini tidak berlaku dan untuk menjamin adanya satu tafsiran ‘quantifiable’ atau ‘yang boleh diukur’, maka pendidikan agama secara rasmi diterima sebagai kriteria.

Namun istilah ‘Ulama’ semestinya digunakan untuk mereka-mereka yang memenuhi syarat-syarat keahlian Majlis Syura Ulama’ seperti termaktub di dalam Perlembagaan. Sila rujuk perlembagaan. Ini pandangan saya yang mutakhir kerana kadang-kala saya melihat yang lulus 4 thanawi pun dianggap sebagai ‘Ulama’. Panggil ‘ustadz’ takpelah juga, tetapi istilah ‘ulama’ itu pada pendapat saya perlulah digunakan dengan lebih cermat.

Persoalan ini perlu diperkemaskan. Maka dengan itu, PAS kawasan Shah Alam telah mengambil keputusan untuk mencalonkan gandingan 2H di atas dasar kemampuan mereka berdua untuk menerajui perjuangan PAS di masa akan datang.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

No comments

Powered by Blogger.