Surat terbuka untuk UPSI

Masalah bilik kuliah yang tidak cukup di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, didedahkan akhbar baru-baru ini. Langkah UPSI menyewa rumah kedai sebagai bilik kuliah universiti bukanlah satu fenomena baru. Universiti Teknologi MARA (UiTM) misalnya, juga berbuat demikian kerana tidak mampu menampung pertambahan pelajar. Tetapi tidak ada pula kedengaran rungutan di akhbar daripada pihak pengurusan tertinggi institusi berkenaan atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang menghadapi masalah sama.

Proses pembinaan kampus baru UPSI di Proton City sedang berjalan walaupun agak sedikit lembab akibat krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

Justeru UPSI wajar bersabar dan tidak menyalahkan kerajaan. Bagaimana pula dengan masalah kelewatan pembinaan bangunan Komplek e-Learning di Kampus Induk UPSI yang dipantau sendiri oleh pihak UPSI? Bangunan yang sepatutnya siap pada bulan Disember 2008 sehingga kini masih belum siap.

Masalah bilik kuliah yang kurang selesa di UPSI dapat dikurangkan sekiranya pihak pengurusan tertinggi lebih bijak membuat perancangan. Satu ketika, terdapat banyak bilik kuliah yang selesa di Bangunan Canselori, UPSI.

Kini, kesemua bilik kuliah tersebut telah ditutup dan diubah suai menjadi bilik-bilik pejabat yang kelihatan agak mewah jika dibandingkan dengan IPTA yang lain. Sebagai ganti, pelajar belajar di deretan rumah kedai sekitar kampus.

Di waktu kerajaan berusaha menangani krisis ekonomi dan menggalakkan perbelanjaan berhemat, UPSI menghabiskan RM250,000 untuk pementasan bangsawan Puteri Saadung di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Februari 2009. Penting sangatkah pementasan yang tidak balik modal ini? Kenapa tidak dibelanjakan wang sebanyak suku juta ringgit itu untuk mengubah suai bilik kuliah menjadi lebih selesa sementara menanti siapnya kampus baru di Proton City?

Sengaja

Pihak pengurusan tertinggi UPSI pula kerap mengadakan program lawatan ke luar negara seperti Iran, China dan sebagainya. Berhasilkah lawatan ini memperkenalkan dan menarik ramai pelajar luar negara untuk belajar di UPSI atau sengaja mengambil peluang untuk jalan-jalan makan angin? Mahukah pelajar dari luar negara ini belajar di UPSI sedangkan kurikulum yang disediakan terlalu menjurus untuk menjadi seorang guru di Malaysia dan tidak pula diiktiraf oleh negara mereka?

Sedarkah bahawa UPSI sendiri mengabaikan keperluan pelajar-pelajarnya. Perkhidmatan WiFi UPSI JARING di sekitar kampus seringkali tidak boleh digunakan oleh pelajar-pelajar sekalipun mereka sudah membuat bayaran untuk perkhidmatan tersebut. Takkan UPSI nak tunggu kampus di Proton City siap sepenuhnya baru mutu perkhidmatan ICT warga kampus boleh dipertingkatkan.

Dari sudut yang lain pula, setiap tahun UPSI mengubah suai kaki lima jalan dan landskap sekitarnya. Ada saja projek mengubah suai kaki lima dan landskap UPSI ini. Bukan sedikit wang yang dibelanjakan. Yang peliknya, kebocoran di dewan utama UPSI untuk kegunaan peperiksaan dan konvokesyen tidak pula diperbaiki sepenuhnya.

Terdapat satu bangunan baru dan besar dalam proses pembinaan yang dikenali sebagai Bangunan e-Learning di kampus utama UPSI. Malangnya bangunan ini telah melangkaui tempoh sepatutnya ia disiapkan. Ramai yang tidak mengetahui, bila bangunan ini siap, ia tetap tidak akan dijadikan bilik-bilik kuliah.

Bangunan ini akan menempatkan bilik-bilik pejabat, bilik-bilik mesyuarat dan makmal komputer untuk kursus yang sudah semakin kurang pengambilan pelajarnya. Kenapa tidak dirancang untuk dijadikan bilik-bilik kuliah bagi menampung keperluan semua pelajar pelbagai fakulti?

UPSI terlalu menekankan aspek luaran dan kosmetik. Untuk tempoh tiga tahun kebelakangan ini, logo UPSI telah ditukar berkali-kali sehingga warga kampus sendiri menjadi keliru akan logo rasmi sebenar UPSI. Setiap kali perubahan logo, belanja yang banyak akan dihabiskan untuk menukar kesemua logo yang ada termasuk pada kenderaan rasmi universiti, kepala surat, sampul surat, bahan edaran dan sebagainya. Bukankah ini satu pembaziran?

Selain itu juga, terdapat beberapa fakulti yang pengambilan pelajarnya terpaksa dikurangkan. Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) contohnya, telah memberhentikan pengambilan pelajar baru untuk program Ijazah Sarjana Muda. Antara alasan yang diberikan, kursus yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan keperluan sebenar di sekolah-sekolah.

Bersaing

Masalah seperti ini timbul kerana UPSI hanya menyediakan pelajar-pelajar untuk jadi seorang guru di sekolah sehingga menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mendapatkan pekerjaan. Sukatan pelajaran yang ada di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi contohnya, tidak sesuai untuk melahirkan seorang guru di sekolah-sekolah biasa di Malaysia dan tidak pula mampu untuk menjadikan mereka seorang pakar perisian dan komputer yang boleh berkhidmat dengan sektor swasta. Graduan bergantung seratus peratus dengan kekosongan jawatan guru yang ditawarkan oleh kerajaan untuk mendapat pekerjaan.

Jika dinilai aspek penerbitan ilmiah, UPSI jauh ketinggalan berbanding kebanyakan universiti yang ada di Malaysia. Bilangan perisian pendidikan yang dihasilkan hampir tiada. Begitu juga penerbitan bercetak.

Sepanjang tahun 2009, sehingga ke hari ini, tidak ada satu pun buku baru yang diterbitkan. Pensyarah-pensyarah UPSI sudah serik untuk berurusan dengan pihak universiti. Kebanyakan manuskrip mereka ditolak mentah-mentah oleh mereka yang berlagak pakar dalam semua bidang. Manuskrip yang diterima pula terpaksa menanti sehingga dua tahun untuk diproses. Sebahagian yang sudah menyiapkan buku pula, kurang senang untuk menulis lagi kerana hampir dua tahun royalti buku tidak dibayar.

Pihak pengurusan tertinggi sendiri tidak pernah membentangkan sebarang bentuk perancangan dan hala tuju UPSI untuk jangka panjang dengan warga UPSI. Amanat Naib Canselor sendiri untuk warga UPSI pada awal tahun 2009 hanya tertumpu kepada pencapaian UPSI pada tahun sebelumnya dan perkara yang akan dilakukan untuk tahun 2009.

Barangkali, cadangan sesetengah pihak agar UPSI bergabung dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ada di seluruh negara perlu dipertimbangkan dengan wajar. Pihak pengurusan tertinggi seharusnya mengkaji dan membuat keputusan yang sepatutnya untuk kepentingan pendidikan negara. Tetapi siapa yang berani menegur pihak pengurusan tertinggi UPSI?

Dalam keadaan ekonomi sekarang, UPSI seharusnya lebih faham dengan masalah yang dihadapi pihak kerajaan dan bersabar menunggu kampus baru yang dijanjikan. Bersyukurlah bahawa UPSI masih mampu menyewa rumah kedai untuk dijadikan bilik kuliah. Sementara menanti, fokuskan usaha untuk memperbaiki kepincangan yang ada daripada berterusan mengharapkan kerajaan dalam menyelesaikan semua masalah yang dihadapi.

PEMERHATI

Tanjung Malim, Perak

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

No comments

Powered by Blogger.