10 Ribu Peluang Pekerjaan Di Selangor Diperlukan: Dr Halimah

SHAH ALAM, 26 Ogos - Ekonomi Selangor semakin pulih, apabila lebih 10 ribu peluang pekerjaan diperlukan, khususnya dalam sektor perkilangan setelah pelabur kembali ke negeri ini untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap dasar kerajaan negeri turut menjadi faktor utama pertumbuhan ekonomi Selangor yang semakin meningkat, sejak akhir-akhir ini.

“Kita difahamkan tadi oleh FMM di mana syarikat-syarikat besar juga sekarang ini mempunyai masalah kritikal tentang kekurangan pekerja, difahamkan contohnya Sony, kekurangan pekerja, saya difahamkan tadi oleh En Davis dan Vindram Human Resource Management Committee Chairman, FMM HQ, dia mengatakan sekarang ini lebih kurang 10 ribu kekurangan pekerja”, kata Dr Halimah.

Demikian kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui TV Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat Human Resource Working Group di SSIC Berhad, Shah Alam, petang semalam.

Justeru, katanya kerajaan negeri menyeru kepada mana-mana individu yang sedang mencari pekerjaan, merebut peluang ini secepat mungkin.

“Saya menyerulah kepada semua mereka yang masih menunggu kerja dan masih tidak mendapat kerja daripada tahun lepas di mana ekonomi kita merudum, sekarang ini sebenarnya ekonomi sudah berkembang di negeri Selangor dan kita memang memerlukan pekerja-pekerja khususnya pekerja kilang”, jelasnya lagi.

Statistik keperluan tenaga pekerja itu dikeluarkan oleh Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) yang hadir pada mesyuarat selama kira-kira 2 jam tersebut.

Hadir sama mesyuarat ini, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok; Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL), Datuk Dr Rosti Saruwono dan Presiden Kolej Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS), Datuk Mohd Mydin Sheriff. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.