LZS Sasar Kutipan Zakat Fitrah RM12 juta

SHAH ALAM, 26 Ogos - Lembaga Zakat Selangor(LZS) mensasarkan kutipan zakat fitrah di Selangor tahun ini sebanyak RM12 juta.

Ketua Jabatan Pembangunan Korporat LZS, Akhtar Sahari berkata, sasaran ini berdasarkan kadar baru zakat fitrah yang dinaikkan kepada RM7 seorang berbanding RM5.20 tahun lalu, selaras kenaikan harga beras di pasaran.

“ Kita menjangkakan kutipan zakat fitrah di Selangor ini meningkat dan dimana-mana negeri pun akan berlaku peningkatan sebab berlaku pertambahan penduduk dan lebih-lebih lagi di negeri Selangor pada tahun ini setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor maka kadar zakat fitrah telah ditetapkan sebanyak RM7 sekepala berbanding RM5.20 pada tahun lepas,”katanya.

Demikian kata Akhtar ketika ditemui TVSelangor di pejabatnya, di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, bagi memudahkan orang ramai menjelaskan zakat fitrah ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui LZS melantik 2,435 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor selain membuka kaunter zakat sementara bagi memudahkan urusan pembayaran zakat.

“Untuk sesiapa, masyarakat ataupun rakyat negeri Selangor yang nak bayar zakat fitrah dah bermula pada 1 Ramadan lalu dan kemudahan-kemudahan yang kita sediakan untuk rakyat selangor membayar zakat fitrah ini selain daripada kita ada 22 kaunter di seluruh Selangor,22 cawangan di seluruh Selangor, seramai 2,435 orang ketua dan juga penolong amil fitrah yang kita lantik yang mereka ini biasanya akan mengutip fitrah di masjid dan surau, rakyat selangor juga boleh membayar zakat fitrah dipusat membeli-belah terpilih di Selangor,” katanya.

Katanya, pembayaran boleh dibuat di pusat membeli belah Centrepoint,Klang,Giant Shah Alam, Mydin dan Plaza MPK, Kompleks PKNS, Shah Alam dan juga Jaya Jusco Bukit Raja, Klang.

Tambah Akhtar, 22 kaunter zakat ini dibuka setap hari termasuk cuti umum bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang sepanjang Ramadan, manakala Sabtu dan Ahad kaunter dibuka pada jam 9 pagi hingga jam 3 petang

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai menyegerakan pembayaran tanpa menunggu akhir ramadan.

“Jadi dengan kemudahan yang kita sediakan 22 cawangan, selain 2,435 amil dan juga kaunter zakat fitrah di tempat-tempat umum ni,datanglah bayar zakat fitrah dengan kadar yang segera, janganlah tunggu last minute”,katanya.

Pada masa yang sama, Akhtar berkata LZS turut memperuntukkan RM15.9 juta untuk diagihkan kepada 21,621 keluarga fakir dan miskin di seluruh Selangor sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, bantuan ini mula diagihkan sejak 4 Ogos lalu dan katanya ia akan diteruskan sehingga 13 September ini.

No comments

Powered by Blogger.