ALLAH LEBIH GEMBIRA..

Nabi SAW bercerita..

Ada seseorang yang baru kembali ke rumahnya. Setiba di rumah, dia melihat rumahnya roboh dan hancur sama sekali. Ia tidak dapat lagi masuk ke dalam rumahnya.

Justeru, ia berehat di sisi kenderaan yang di dalamnya ada bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu tertidur.

Tidak lama ia tersedar. Malangnya, kenderaannya, makanan dan minumannya hilang entah ke mana. Ia melilau mencari ke sana ke mari. Tidak bertemu.

Letih mencari, ia kembali ke tempat mula-mula tadi. Lelaki berkenaan berehat dan tertidur lagi.

Tersedar daripada lenanya, tidak semena-mena ia mendapati kenderaan, makanan dan minumannya ada di sisi. Lelaki berkenaan ternyata sangat gembira. Terlalu gembira sekali.

Demikian kisah yang baginda SAW sampaikan.

Nabi SAW membuat tamsilan, apabila seorang hambanya bertaubat dan kembali kepadaNya, Allah SWT lebih gembira berbanding kisah lelaki yang bertemu kembali barangnya yang hilang.

Sedangkan hakikatnya, Allah SWT tidak ada kerugian sedikitpun dengan kufur dan jahatnya manusia. Tetapi Dia merasa sangat gembira dengan taubat hambaNya.

Kisah ini ada dimuatkan dalam hadith sahih al-Bukhari.

Sedutan kuliah maghrib, isnin malam selasa di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan. Kitab Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, menghuraikan 294 hadith sahih al-Bukhari.

No comments

Powered by Blogger.