Cadang Warta 7 Ribu Hektar Tanah Orang Asli

SHAH ALAM, 9 Ogos - Kerajaan negeri bercadang mewartakan seluas 7 ribu hektar tanah yang diduduki oleh masyarakat orang asli di seluruh negeri ini, sebagai tanah simpanan orang asli.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat kajian.

Ketika ini, beliau berkata pihaknya sedang meneliti rekod tanah kampung yang diduduki kaum berkenaan, sebelum mengambil sebarang tindakan.

“7 ribu hektar yang minta diwartakan tidak mustahil tapi kita akan cuba yang terbaik daripada 76 kawasan orang asli di negeri ini”,katanya.

Elizabeth berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia, di Laman Budaya, Shah Alam pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk Orang Asli di negeri ini dengan mengadakan sesi dialog bersama Badan Bertindak Tanah Orang Asli Negeri Selangor.

Menurut Elizabeth, melalui cara itu kerajaan negeri akan lebih mudah memahami masalah yang dihadapi Orang Asli dan berusaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat terbabit.

Sehingga kini, terdapat lebih 15 ribu penduduk Orang Asli di negeri Selangor dan majoritinya menetap di daerah Sepang dan Kuala Langat.

No comments

Powered by Blogger.