Pas Usaha Ubah Persepsi Bangsa Lain Terima Islam Sebagai Agama Universal

SHAH ALAM, 9 Ogos - Islam untuk semua…

Itulah kenyataan yang hendak disampaikan oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas) kepada masyarakat bagi menyatakan bahawa kehendak Islam meliputi semua aspek, tidak kira agama dan bangsa.

Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Halimah Ali berkata, Pas akan berusaha menukar persepsi masyarakat luar yang semakin keliru menganggap Pas hanya untuk satu bangsa sahaja.

“Inilah antara masalah yang mana orang bukan Islam di Malaysia semakin keliru tentang Islam seolah-olah Islam di Malaysia ini adalah satu bangsa sahaja, bukan untuk semua.

“Inilah yang cuba diutarakan oleh Pas Islam ini adalah rohmatul alamin, maknanya kepada orang Melayu, India, Cina, Arab dan untuk semua bahkan kepada Islam dan juga bukan Islam,” katanya.

Dr Halimah berkata demikian kepada TvSelangor selepas merasmikan Taklimat Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat kepada Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, di Shah Alam, pagi tadi.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan berkata, masyarakat yang berlainan agama dan bangsa perlu menukar persepsi mereka terhadap Islam dan bersatu untuk perpaduan.

“PAS ini membawa satu misi yang mana Pas sebagai satu parti Islam yang memperjuangkan universal merangkumi keadilan, kesamarataan, kebajikan dan pendidikan,” katanya.

Justeru katanya, Pas akan mengadakan menjelajah ke seluruh Negara bagi memperkenalkan Kelab Penyokong Pas terutama kepada badan-badan perhubungan Pas di setiap negeri dan telah pun bermula di Selangor hari ini.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.