Kemenangan PAS perteguhkan Pakatan Rakyat

Oleh Roslan SMS

Sekali lagi PAS melunaskan janjinya kepada Pakatan Rakyat. PAS teruji dan berjaya di parlimen Kuala Terengganu, kemudiannya di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Manek Urai. Hari ini PAS unggul lagi di Permatang Pasir.

Memang kemenangan ini sebagaimana kemenangan yang sebelumnya adalah usaha bersama semua pihak dalam PR termasuklah PKR dan DAP serta rakan-rakan NGO yang lain. Tetapi ternyata pertempurannya dalam gelanggang PAS, kalau kalah boleh sahaja PAS yang dikatakan lemah dan hilang pengaruh.


Apa pun yang kalah adalah Umno yang kecundang adalah BN. Ini bermakna mimpi yang kononnya PAS dan PR telah mula diragui rakyat, telah mula hilang sokongan rakyat semuanya karut belaka.

PAS berhadapan dengan pengundi Permatang Pasir di bawah panji-panji PR dalam keadaan pengaruhnya dikatakan teruji. Di Kedah, kepimpinan PAS dikatakan kononnya keras dan bengis terutama terhadap masyarakat minoriti bukan Islam, manakala di Selangor PAS dikatakan cuba menganggu hak asasi masyarakat bukan Islam. Berbagai tohmahan dan serangan dilontarkan terhadap PAS sehingga ada yang beranggapan PAS berpotensi kecundang di Permatang Pasir setelah kemenangan tipis yang diperolehi di kawasan "solid" Melayu di Manek Urai.

Malah ada seorang rakan pimpinan DAP di Selangor mengatakan bahawa beliau menerima SMS yang menyebut bahawa PAS akan "bungkus" di Permatang Pasir akibat tindakan mengharamkan penjualan arak di Selangor.

Kini terbukti bahawa segala tindakan dan keputusan melibatkan PAS sebenarnya tidak menjejas atau mempengaruhi keputusan pengundi. Malah boleh dikatakan tindakan PAS berupa amar makruf nahi mungkar khusus dikalangan penganut Islam itu kini telah dapat diterima dan difahami, langsung tidak dibimbangi oleh masyarakat bukan Islam.

Bukankah masyarakat Islam yang baik dan berakhlak itu nanti bakal menguntungkan rakan-rakan bukan Islam dan menjadi aset kepada masyarakat dan negara. Tiada niat buruk oleh PAS dalam menekankan aspek-aspek keislaman melainkan melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Kemenangan di Permatang Pasir adalah petanda penerimaan masyarakat terhadap politik PAS yang dilihat lebih baik, dinamik dan boleh dipercayai berbanding Umno selama ini. Umno perlu kembali kepada Islam jika mahu terus relevan dan untuk itu tiada cara dan jalan lain selain berbondong masuk menyertai PAS.

Pakatan Rakyat kini perlu sedar dan insaf akan saling perlu memerlu antara satu sama lain dikalangan komponan di dalamnya. PAS ada mesej dan agendanya, ia mahu terus berkembang dalam PR, sleagi wujud konsep muafakat dan hormat-menghormati tiada sebab gagasan politik baru ini tidak boleh menggantikan BN diperingkat yang lebih besar.

Syabas YB Ustaz Mohd Salleh Man, semoga PAS Pulau Pinang diberi peluang memain peranan yang lebih aktif dan bermakna dalam kerajaan PR Pulau Pinang.

No comments

Powered by Blogger.