Mengaku kalah ajalah Muhyiddin, usah cari daleh lagi ...

Oleh PAK TAM MAT

Bagi sesiapa yang tonton Buletin Utama TV3 tadi tentu perasan bagaimana kecewanya Muhyiddin Yassin yang siang malam bertungkus lumus berkempen di Permatang Pasir, tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan kemenangan besar calon PAS.

Menariknya, dan itulah setiap kali dilakukan TV3 dan media talibarut Umno yang lain, bila mereka kalah, maka dicarilah segala daleh ke atas kekalahan mereka. Muhyiddin sebagai contoh menyalahkan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat, yang mengasak ke kampung-kampung yang ramai penyokong Umno sehingga penyokong Umno itu takut untuk keluar mengundi.


Bagi Muhyiddin, kalau penyokong Umno tidak dihalang daripada keluar mengundi sudah tentu BN dapat menang kali ini. Langsung tak masuk akal! Kalau Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri ada bukti bahawa penyokong PAS menganggu penyokong Umno untuk keluar mengundi, beliau sepatutnya membuat laporan polis pada petang tadi juga.

Kepada Muhyidin mengaku ajalah bahawa Umno-BN masih belum dapat dipulihkan. Rakyat tetap menolak dan mahukan Pakatan Rakyat terus memerintah. Bukankah sejak hari pertama lagi calon Umno sudah buat hal dengan begitu banyak masalah peribadi yang membelitnya? Seolah-olah Umno ketandusan calon berwibawa untuk bertanding dalam pilihan raya yang diakui cukup penting itu.

Satu lagi daleh Umno bila kalah ialah dengan membawa alasan kuno iaitu penyokong Pakatan Rakyat melakukan keganasan atau kekerasan kepada petugas BN. Maka ditunjukkan beberapa orang Pemuda Umno yang kena "belasah" oleh penyokong PAS sehingga berdarah-darah. Dan sewajibnya bekas darah itu akan difokuskan oleh kamera TV.

Penonton sudah muak dengan agenda yang sudah tidak laku ini. Kita belum lupa dengan peristiwa semasa Anwar Ibrahim bertanding di Permatang Pauh dulu. Macam itu jugalah media talibarut memainkan peranan mereka. Ditunjukkan berulang-ulang kali "kesamsengan" penyokong KeADILan tetapi akhirnya kalah lagi teruk juga calon Umno.

Kepada Muhyiddin, cukup-cukuplah bermain politik dengan daleh yang orang sudah naik muak. Mengaku ajalah kelemahan dan perbaikilah. Kalau tidak, Umno bukan saja terus kalah dalam siri pilihan raya kecil (setakat di Semenanjung 7-0), tetapi nasibnya dalam pilihan raya umum akan datang bertambah kritikal lagi.

BERIKUT ADALAH KENYATAAN ANWAR IBRAHIM MENGULAS KEMENANGAN SALLEH MAN
Saya panjatkan rasa syukur di atas kemenangan Pakatan Rakyat di Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir. Berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, kemenangan hari ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan Umno-BN yang memecahbelahkan.

Penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seluruh jentera pilihan raya kecil, yang tetap bersabar mengharungi kepayahan pada bulan Ramadhan ini. Kepada YB Haji Salleh Man tahniah di atas kejayaan ini dan tunaikanlah amanah dan mandat yang diberikan rakyat.

Kemenangan dengan majoriti meyakinkan ini ternyata, menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat, hasrat bergelora mahukan Perubahan dan masa depan Pakatan Rakyat yang pasti gemilang.

No comments

Powered by Blogger.