Koroner Arah Keterangan Dokumen Berkaitan Inkues Dibuang

Sementara itu, Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan supaya semua keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, mengenai dakwaan DAP mendapatkan keuntungan kewangan, dibuang dari rekod mahkamah, ekoran bantahan para peguam.

Beliau berkata, perkara ini tidak termasuk dalam skop prosiding inkues yang dijalankan dan segala keterangan yang diberikan oleh saksi perlu menumpukan kepada kematian Teoh.

Sebelum itu, berlaku ketegangan dan perang mulut di antara peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Sing Deo dan Peguam Pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berhubung keterangan Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail yang mendedahkan siasatan yang telah dilakukan oleh SPRM terhadap Teoh.

Anuar dalam keterangannya hari ini mendedahkan kegiatan empat syarikat Bumiputera yang meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu untuk menjalankan projek yang tidak wujud yang mendapat kelulusan Teoh Beng Hock dan anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Beliau mendakwa, siasatan turut mendapati kegiatan serupa dilakukan oleh tujuh syarikat lain, serta beberapa bukti sokongan yang menunjukkan berlakunya penyelewengan wang peruntukan Adun Selangor dalam projek palsu itu..

Gobind membantah kepada mahkamah bahawa Abdul Razak telah melanggar persetujuan yang dibuat semalam iaitu keterangan Mohd Anuar hanya akan berdasarkan kepada keterangan Teoh yang telah dirakam oleh SPRM, berdasarkan 4 dokumen yang dicetak daripada computer riba milik Teoh.

Gobind turut mendakwa bahawa Abdul Razak telah mengunakan prosiding inkues ini untuk mendedahkan hasil kesemua siasatan.

Katanya:”Kami tidak ada apa-apa yang ingin disembunyikan, kami boleh bawa saksi-saksi kami untuk menentukan tuduhan yang dibuat oleh Mohd Anuar.Tuduhan Mohd Anuar, tidak berasas. Ia tidak adil bagi anak guam saya iaitu si mati,”. KEMALIA OTHMAN TVSELANGOR

No comments

Powered by Blogger.