MB: Pakatan Rakyat Selesai Isu Pemilikan Tanah Tanpa Kira Fahaman Politik

JERAM, 17 Ogos - “Menteri Besar dah balik Pasir Tuntong”, begitulah dengan nada berseloroh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kepada penduduk kampung kelahirannya di Jeram yang ditemuinya semalam.

Setelah 6 tahun berkecimpung dalam arena politik, anak kelahiran kawasan itu pulang bertemu sanak saudara, rakan taulan dan masyarakat kampungnya, bagaikan sirih pulang ke gagang.

“Dalam tak sampai setahun saja saya dah diperkenalkan kepada politik, iaitu bertanding dalam pilihanraya kecil di Ijok”, kata Abdul Khalid.

Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Mesra Perpaduan Kg Tuntong, Kuala Selangor, tengah hari semalam.

Dalam pada itu, beliau mahu pegawai daerah terbabit agar menyelesaikan isu pemilikan tanah yang berlarutan lebih 30 tahun, diselesaikan secepat mungkin kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Kali ni Pakatan Rakyat adil, walaupun dia UMNO, dia dapat, walaupun dia MCA, dia dapat, walaupun dia tak ada parti pun dia dapat. Semua kita bagi orang Keadilan kita bagi, orang PAS kita bagi, semua kita bagi. Jadi dengan cara ini kita memerintah dengan adil, dengan cara yang adil, masyarakat akan percaya dengan kita, sudah tentu dia undi pemimpin yang baik”, jelas Abdul Khalid lagi.

Selain itu, Abdul Khalid turut menggesa rakyat di situ supaya berusaha menjaga kebersihan diri dan keluarga bagi membendung penularan wabak selsema babi atau influenza H1N1.

Beliau menghabiskan kira-kira sejam menemui warga emas, fakir, miskin, ibu tunggal dan OKU di kampung ini serta menyampaikan bantuan berupa hamper sempena menyambut Ramadan, minggu hadapan.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid turut dilantik sebagai Ketua PKR Ranting, Kg Pasir Tuntong yang ditubuhkan baru-baru ini dalam usaha melaksanakan misi dan visi demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum.

Hadir sama ADUN Bukit Malawati, Ir. Muthia a/l Maria Pillay; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Misri Idris; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Haris Kasim dan Ketua Kampung Pasir Tuntong, Hajiman Ibrahim. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.