Umno sedia perangkap sendiri di Permatang Pasir

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan tanggapan bahawa Kedah meniru model pentadbiran kerajaan negeri Kelantan. Kedah, katanya, ada caranya yang tersendiri dalam mentadbir kerajaan berdasarkan beberapa faktor seperti budaya, majoriti kaum, sosial ekonomi, geografi dan amalan rakyat.


"Kita tidak menjadikan Kelantan atau mana-mana negeri dalam Malaysia sebagai model pentadbiran kerana terdapat beberapa faktor penting yang tidak sama," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pedu, Dato' Seri Mahdzir Khalid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-12.

Dalam pertanyaannya asal Mahdzir ingin tahu sama ada kerajaan pimpinan PAS menjadikan Kelantan sebagai model dalam mentadbir kerajaan negeri.

Dalam soalan tersebut juga ditanya bilakah konsep berkenaan akan dilaksanakan? Apakah kerajaan negeri telah membuat kajian terhadap impak kepada kepada 'keputusan' meniru model dari Kelantan itu? Apakah ciri-ciri yang diambilkira bagi melaksanakan konsep berkenaan?
Menteri Besar dengan tegas menjawab, "Tidak!" Tercengang sejurus Adun-Adun BN. "Oleh kerana jawapannya tidak, maka saya tidak perlu menjawab soalan berikutnya."

Apabila Mahdzir mengajukan soalan tambahan barulah Ustaz Azizan memberi penjelasan. Pentadbiran negeri Kedah berjalan dengan stailnya yang tersendiri dalam fokus yang terbaik untuk rakyat dengan meneruskan perancangan yang dibuat kerja dahulu, memperbaikinya dan menambah program baru.

Menteri Besar pun boleh menghidu pencak soalan yang berbaur tipu muslihat. Soalan diajukan sebenarnya lebih kepada usaha memerangkap PAS, berhubung isu bukan Melayu di negeri ini. Sudah tentu BN berharap jawapan yang diberikan ialah 'Ya' kerana ia boleh dimanipulasi habis-habisan dalam usaha terdesak mereka meraih kembali sokongan bukan Melayu. BN gagal lagi.

Di Kedah, kekuatan PAS dan Umno adalah seimbang. Kata Sanusi Junid '3P'. Di mana ada padi di situ ada pondok, di mana ada pondok di situ ada PAS. Cuma lebih Umno dapat memerintah Kedah selama 50 tahun kerana undi bukan Melayu memihak kepada mereka. Sekali undi bukan Melayu beralih pada PAS, tumbanglah BN. Umno sedar, macam mana kuat sekalipun mereka bekerja memperkasa parti, tapi kalau bukan Melayu tak sokong dalam pilihan raya, harapan tawan Kedah jadi mimpi di tengahari.

BN juga ada mencuba membangkitkan kebencian bukan Melayu terhadap kerajaan melalui kaedah 'Trojan Horse'. Iaitu menggunakan juhalak tunggangan mereka dalam pentadbiran kerajaan tempatan bagi melaksanakan agenda-agenda politik BN, untuk membangkitkan kemarahan bukan Melayu.

Isu perobohan pusat babi dan cubaan bertindak terhadap kuil di Jalan Pegawai adalah antara agendanya. Pusat babi musnah, tapi kemarahan bukan Melayu dapat dibendung dengan alternatif lebih baik, sedangkan imej kerajaan di kalangan orang Melayu naik menjulang. Maknanya mereka gagal juga. Isu cubaan bertindak terhadap kuil dapat dihidu dari awal. Konspirasi mereka melalui 'Trojan Horse' gagal.

Walaupun setakat ini BN Kedah masih gagal memanipulasi situasi dan isu untuk menarik sokongan bukan Melayu tapi usaha mereka berpijak kepada realiti, kerana sedar pentingnya undi bukan Melayu.

Ia berbeza pula dengan Umno di peringkat Pusat. Akibat ghairah dengan peningkatan undi di Manek Urai yang pengundi Melayunya hampir seratus peratus, mereka terus meledakkan isu perkauman Melayu.

Saban hari, setiap detik, mutakhir ini mereka mencanang habis-habisan isu perkauman Melayu. Gerakan terkini ialah menganjurkan perhimpunan-perhimpunan haram secara besar-besaran mengecam Dato' Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau adalah pengkhianat Melayu.

Di samping menganjurkan perhimpunan haram mengecam DAP dan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina kononnya menghina Islam. Sejak bila pula Umno tahu sensitif bila Islam dihina, sedangkan lidah merekalah selama ini cukup celupar membelasah hudud dan mempersenda hukum Allah?

Saya meramalkan bahawa jika Umno berterusan meledakkan isu perkauman seperti ini dalam waktu terdekat, maka mereka akan kalah lebih teruk dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Bangang sangat nampaknya BN kalau nak menang pilihan raya dengan meledakkan isu perkauman di kawasan 28 peratus pengundi bukan Melayu. Kerja PAS tak teruk sebenarnya untuk meraih undi bukan Melayu.

Setiap butiran kempen BN di kalangan pengundi Melayu, setiap bahan kempen mereka hendaklah dirakam, disalin dan diedarkan segera kepada 28 peratus pengundi bukan Melayu.

Manakala di kalangan pengundi Melayu, senaraikan pengkhianatan panjang Umno terhadap orang Melayu tanpa menyentuh langsung isu bukan Melayu, khususnya orang Cina.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, dari awal BN memainkan isu kononnya Nizar Jamaluddin derhakai raja dan ikut telunjuk DAP. Mereka istiqomah dengan isu tersebut sehingga akhir. Tapi jentera kempen PAS tidak buat ‘serangan membela’ dari awal. Sebab itu BN berjaya kuasai undi Melayu.

Di Bukit Selambau, jentera Pakatan sedar bahawa gilapan imej Najib (yang baru angkat sumpah sebagai Perdana Menteri) akan dipergunakan. Maka tumpuan berganda diberi terhadap merosakkan imej Najib.

Entah pihak mana tiba-tiba mengedarkan foto anak Najib berpelukan dengan perempuan-perempuan seksi Mat Saleh. Semua itu membantu menumpulkan serangan BN dalam isu yang dia mahu pergunakan.

Di Permatang Pasir sama saja. Siapkan peluru serangan dari jenis yang dijangka musuh menggunakannya. Biar mereka tercungap-cungap mencari jalan keluar selepas tersasul lorong.
Jika kita berjaya memukul Umno sewaktu dia tersesat mencari jalan keluar, maka peluang untuk menang jadi cerah. Strategi nak menang pilihanraya memang macam tu.

No comments

Powered by Blogger.