4 wakil Hamas sertai Muktamar PAS

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 8 Jun: Empat wakil Hamas bakal hadir ke Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 Jun ini di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini.

Juga dijangka akan hadir ialah tetamu jemputan dari Maldives dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) serta beberapa tokoh Islam dari luar negara.

Pengarah Muktamar PAS ke-56, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar), berkata kehadiran tetamu luar amat dialu-alukan terutama dalam isu Palestin yang kini hangat diperkatakan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan perjalanan muktamar yang bakal berlangsung dua hari lagi.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu satu usul tergempar berhubung sokongan PAS terhadap pergerakan Palestin akan dikemukakan.

Menyentuh tentang perjalanan muktamar, katanya ianya akan dimulai oleh muktamar dewan-dewan bermula pada 10 Jun ini.

“Muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan berlangsung di tiga kawasan berasingan, iaitu di Kompleks Madu Machang, Kelantan Trade Centre (KTC) dan Perdana Resort.

“Bagaimanapun, majlis perasmiannya akan bermula serentak pada 9 Jun di Putik iaitu malam esok kira-kira pukul 9.00 malam,” ujarnya.

Jelasnya, perubahan buat julung kali diadakan itu dengan harapan ketiga-tiga dewan terbabit akan mendapat maklumat terus dari pimpinan secara serentak.

Sementara itu, bandar Kota Bharu hari ini mula dikunjungi para pelancong termasuk para pemerhati muktamar menyebabkan jalan-jalan utama mulai sesak.

Takiyuddin ketika mengulas perkara itu, berkata hotel-hotel dan rumah tumpangan yang telah ditempah sejak April dan Mei lalu oleh perwakilan dan pemerhati sudah mula diisi oleh tetamu muktamar itu.

Persiapan muktamar, katanya kini hampir siap 100 peratus termasuk khemah pameran, ekspo, ruang makan, bilik media dan berbagai lagi.

Difahamkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi akan melakukan lawatan ke Putik petang ini untuk meninjau perkembangan persiapan terakhir muktamar.

Semalam juga, rakan-rakan media turut dijemput meninjau bilik khas untuk mereka di samping mendengar taklimat khas dari pengarah muktamar.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.